Untuk siapakah Kongres Ekonomi Bumiputera?

 


Jika penekanan diberi terhadap pendidikan dan jaringan keselamatan sosial, ia akan berjaya membantu bukan sahaja golongan bumiputera tetapi juga golongan minoriti etnik

Oleh Safiyuddin Sabri

Aiman (bukan nama sebenar) seorang pelajar berumur 17 yang tinggal bersama lima orang dewasa serta enam adik-beradik dan sepupu di rumah pangsa kos rendah dengan dua bilik tidur di Shah Alam.

Masalah keluarga yang dialaminya memaksa beliau tinggal bersama ibu bapanya dan keluarga tiri serta saudara tiri. Bapanya seorang pemandu lori dan ibunya berniaga secara kecil-kecilan. Selain ibu dan bapanya, beliau bekerja di luar waktu sekolah untuk membantu keluarga menampung perbelanjaan seharian.

Kehidupan seperti itu sukar untuk dibayangkan. Bagaimana pula dengan pelajaran Aiman? Bagaimana adik-adiknya akan membesar? Bagaimana pula dengan kesihatan mentalnya?

Inilah realiti kehidupan golongan miskin bandar yang harus menjadi fokus dalam “Kongres Ekonomi Bumiputera 2024” yang akan berlangsung dari 29 Februari sehingga 2 Mac.

Adakah persidangan ini dapat memberikan kesan secara langsung terhadap golongan ini atau hanya menguntungkan pemilik-pemilik perniagaan yang sedia ada agar hidup mereka menjadi lebih senang? Adakah resolusi atau usul daripada kongres ini dapat dinikmati oleh sesetengah, semua atau golongan kelas bumiputera yang memerlukan sahaja?  

Sepuluh kluster yang akan menjadi fokus “Kongress Ekonomi Bumiputera 2024”.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran

·         Become an Aliran member

Tel: 04-658 5251 email: aliran.malaysia@yahoo.com

Antaranya ialah reformasi pendidikan dan modal insan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya utama, pengukuhan industri halal, Felda dan tanah wilayah, dan pembangunan desa dan pemerkasaan Orang Asli.

Turut menjadi fokus ialah penerokaan teknologi baharu, penciptaan kekayaan dan penguasaan korporat, daya saing perusahaan bumiputera, serta sosioekonomi bumiputera Sabah dan Sarawak.  

Keterangkuman kaum lain juga dijamin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kongres ini. Dewan perniagaan etnik Cina dan India turut dijemput untuk membincangkan soal perniagaan kecil dan sederhana bumiputera dan golongan etnik minoriti.    

READ MORE:  Resolusi KEB bagai bercermin di air keruh?

 

Agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera telah lama diperkatakan, namun mengapa ekonomi bumiputera masih jauh ketinggalan? Persoalan yang berkait dengan realiti kehidupan golongan marhaen bumiputera perlu dijawab dalam kongres ini. 

Sistem pendidikan penting dalam membantu memperkasa komuniti. “Tidak ada jalan pintas untuk orang Melayu berjaya melainkan dengan ilmu pengetahuan,” Abdul Razak Hussein dipetik sebagai berkata sebelum Kongres Ekonomi Bumiputera 1965.

Tetapi pada tahun 2022, sebanyak 8.4% pelajar gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Difahamkan juga kongres ini akan membincangkan relevansi kurikulum sekolah rendah dengan pembangunan ekonomi bumiputera.

Pelajar seperti Aiman patut diberikan bantuan dan kemudahan agar beliau dapat menghadapi masa depan yang cerah walaupun menghadapi kesukaran hidup.

Penubuhan Majlis Amanah  Rakyat (Mara) pada tahun 1966 dan perisytiharan Institut Teknologi Mara kepada status universiti (UiTM) pada 1999 merupakan hasil daripada kongres pada tahun 1965.

Agenda pendidikan bumiputera dan pemerkasaan UiTM turut dibahaskan dalam kongres ini. Usul mengenainya akan dibawa oleh Kementerian Pendidikan Tinggi demi peningkatan mutu pendidikan bumiputera.

Namun, bagaimana pemerkasaan pendidikan tinggi ini dapat menangani isu golongan muda, terutamanya golongan bumiputera, yang semakin kurang berminat untuk melanjutkan  pelajaran ke peringkat universiti?

Sistem pendidikan yang berkesan, menyeluruh dan berdaya saing adalah diperlukan untuk membangunkan sesebuah komuniti.

Tetapi hal ini tidak akan berguna jika komuniti tersebut tidak berminat untuk turut serta  dalam sistem tersebut. Adakah melanjutkan pelajaran menjadi keutamaan kepada anak muda seperti Aiman?

Penglibatan dalam sistem pendidikan atau keinginan  untuk menyambung pelajaran berkait rapat dengan jaringan keselamatan sosial yang disediakan oleh kerajaan.

Bagaimana remaja seperti Aiman yang perlu membantu ibunya untuk menanggung adik-beradiknya dapat meneruskan pelajaran? Walhal remaja yang berumur 17 tahun dari golongan yang dapat manfaat daripada kongres ini dapat meneruskan pembelajaran dengan tajaan ibu bapa.  

READ MORE:  Mahathir, loyalty transcends language and culture

 

Percanggahan kepentingan kelas dalam masyarakat bumiputera perlu dijelaskan dan diperbaiki semula. Resolusi kongres ini perlu menyentuh hak dan peluang golongan marhaen bukan golongan elit. Kongres ini juga harus membincangkan jaringan keselamatan sosial bagi golongan yang berpendapatan rendah dalam meneruskan pelajaran mereka.

Tindakan daripada segelintir bumiputera golongan elit menyukarkan peluang komuniti bawahan untuk membangun. Keadaan bertambah parah apabila eksploitasi pekerja asing menutup peluang pekerjaan bumiputera yang tidak berpendidikan tinggi.

Jika Kongres Ekonomi Bumiputera ingin membangunkan golongan bumiputera, isu yang paling afdal yang perlu dibahaskan ialah isu yang melibatkan golongan bawahan – bukan isu yang membabitkan kepentingan golongan elit

Pegangan ekuiti Bumiputera sebanyak 30% juga sering dijadikan kayu ukur apabila memperkatakan pemilikan kekayaan negara. Pada tahun 2021, pegangan ekuiti Bumiputera adalah sebanyak 17.2%.

Persoalan yang timbul ialah siapakah pemegang saham sebanyak 17.2% itu? Adakah ekuiti tersebut kebanyakan dimiliki oleh golongan elit bumiputera sahaja?

Adakah pencapaian kuota 30% menunjukkan bahawa sudah tiada lagi golongan bumiputera yang miskin di bandar dan di luar bandar? Adakah rakyat yang hidup dalam kesusahan dan kepayahan tahu akan cara-cara untuk memiliki ekuiti? Malah saya sendiri pun tidak tahu caranya!

Adakah peningkatan pemilikan ekuiti dapat menjamin kesejahteraan ekonomi bumiputera? Bagaimanakah pegangan ekuiti ini dapat diterjemah kepada kemajuan bumiputera dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah?

Mungkin ini antara persoalan yang patut dipersoal dan dibahas dalam Kongres Ekonomi Bumiputera jika mereka benar-benar ingin membincangkan pembangunan ekonomi bumiputera.

Berkenaan dengan sistem pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau di peringkat tinggi, adalah baiknya falsafah pendidikan negara sentiasa dijadikan acuan dan panduan kepada nilai yang ingin diterapkan. Penggubalan kurikulum sekolah seharusnya sentiasa berpandukan falsafah tersebut untuk menjaga kepentingan pendidikan rakyat.

READ MORE:  Mahathir, we are bona fide Malaysian citizens! We don't need to 'become Malay' for that right!

 

Saya yakin jika kongres ini memberi penekanan terhadap pendidikan dan jaringan keselamatan sosial, ia akan berjaya membantu bukan sahaja golongan bumiputera tetapi juga golongan minoriti etnik di negara kita. Ini dapat memastikan golongan bumiputera dapat mencapai matlamat pembangunan ekonomi yang diinginkan.

Saya mengakhiri dengan satu persoalan yang besar, iaitu untuk siapakah pembangunan ekonomi bumiputera ini?

Safiyuddin Sabri merupakan pelajar sains politik yang sedang menjalani latihan ilmiah di Aliran



No comments: