GELARAN DR....TAPI KELAUT JUGA RUPANYA




Marwan Zulkifli


1. Media sosial sedang ribut tentang isu pembukaan kantin di sekolah pada bulan puasa. Pada pandangan saya, memang relevan jika ada Muslim yang tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Pendidikan yang membenarkan kantin-kantin sekolah dibuka untuk memudahkan para pelajar bukan Muslim mendapatkan makanan waktu rehat.

2. Saya menyebut relevan kerana ada sudut pandang yang boleh diterima. Namun, dalam masa sama tidak patut untuk bermudah-mudah menggunakan label yang diguna secara longgar seperti liberal atau “rahmah yang tidak rahmah”. Sebabnya ini isu polisi yang ada sisi pro dan kontra.

3. Memang mudah sahaja untuk mengutip pendapat-pendapat ulama yang bertegas dalam soal ini dengan menggunakan kaedah “bukan Muslim menjaga sensitiviti umat Islam di negara Islam” sama ada dalam karangan klasik mahupun kontemporari. Katakan, secara umumnya kita boleh menerima kaedah itu sebagai salah satu yang penting demi keharmonian masyarakat, namun sejauh mana isu membuka kantin yang sedang hangat ini termasuk dalam aplikasi kaedah tersebut? Adakah dengan arahan membuka kantin itu bermaksud menggalakkan agar tidak menjaga sensitiviti umat Islam? Kalau tidak makan di kantin, adakah kena makan di kelas atau di tempat duduk berhampiran kelas yang lagi mudah dilihat anak-anak pelajar Muslim?

4. Saya berpandangan isu tersebut tidak termasuk dalam kategori tidak menjaga sensitiviti kerana yang diarahkan untuk dibuka ialah kantin. Para pelajar Muslim tidak pergi ke kantin ketika bulan puasa. Malah saya fikir, dengan sikap mudah menghukum sebahagian masyarakat hari ini, pelajar Muslim yang ada keuzuran daripada berpuasa seperti sakit dan sebagainya pun tidak akan pergi ke kantin pada bulan puasa. Jadi, pengasingan sudah berlaku dan makan di kantin sekolah pada bulan puasa sudah tidak termasuk melanggar sensitiviti.

5. Apatah lagi isu ini melibatkan para pelajar yang dalam usia adik dan anak kita walaupun mereka tidak seagama dengan kita. Tidak sewajarnya kita berlebih-lebihan hingga ke tahap ini.

6. Oleh yang demikian, isu ini melibatkan dasar awam, justeru bersifat boleh dibahaskan lagi sudut-sudut maslahah dan mafsadahnya. Pandangan yang dipetik daripada beberapa fuqaha' juga sebenarnya bersifat tarik-menarik antara maslahah dan mafsadah. Pihak pentadbiran sekolah juga boleh diberi kepercayaan untuk mengurus isu ini dengan bijaksana dalam kerangka kebenaran membuka kantin oleh pihak kerajaan. Jadi, tiada pandangan muktamad dan terlampau jelas sehingga boleh laju dan melampau dalam memberi aneka label kepada pihak yang dikritik.

7. Adakah ini bermaksud orang Islam terlalu mengalah, terlampau toleransi atau “terpaling” rahmah? Jawabnya, saya tidak faham mengapa tindakan sebegini dianggap sebagai “mengalah” dari pihak Muslim? Apa sebenarnya yang kita telah mengalah? Lagi-lagi hal ini melibatkan anak-anak pelajar yang senegara dengan kita dan ruang kantin pula tidak lagi dikunjungi pelajar Muslim pada bulan puasa sebagaimana telah diterangkan sebentar tadi. Kita juga tidak sesekali mengalah dari segi kepercayaan bahawa puasa wajib kepada Muslim. Kita juga bersetuju bahawa pendidikan kepada pelajar untuk berpuasa adalah dengan menyediakan suasana yang menyokong mereka untuk berpuasa. Jadi, tidakkah wajar kita berdebat isu sebegini dengan sekadarnya tanpa melampau?

8. Saat isu yang terbuka kepada perdebatan ini dibingitkan secara berlebihan oleh sesetengah ahli akademik dan agamawan, anehnya sebahagian pihak pandang sepi sahaja isu 164 tuduhan pecah amanah, menipu dan terbabit pengubahan wang haram atas penderitaan rakyat Palestin. Sedangkan isu pecah amanah ini lagi wajar diberi perhatian besar termasuk mendesak kerajaan bertindak dengan peraturan lebih jelas untuk mengawal pertubuhan dan NGO yang mengutip dana awam dan kegiatan kemanusiaan.

9. Selamat berpuasa, berbahaslah dan promosilah pandangan anda tapi jangan melampau.