Buka kantin bulan Ramadan: Wanita KEADILAN P Pinang sanggah Ketua Ulama Pas



Wanita KEADILAN Pulau Pinang melahirkan rasa kecewa atas kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahya yang mendakwa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebagai tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik apabila mengarahkan semua kantin sekolah dibuka sepanjang bulan suci tersebut.



Ketuanya Nurhidayah Che Ros berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan hingga menyebabkan pertelagahan sesama umat Islam kerana percaya tindakan kantin kekal beroperasi mampu mengajar pelajar bertoleransi dan memahami erti puasa sebenar selain meringankan beban ibu bapa menyediakan makanan untuk anak-anak pada waktu pagi.



"Mungkin Datuk Ahmad Yahya dan rakan seperjuangannya kurang peka bahawa tidak semua ibu sempat menyiapkan bekalan makanan untuk dibawa oleh anak-anak di waktu pagi, di samping tanggungjawab dan kewajipan lain yang dipikul oleh wanita di masa kini.



"Tidak mungkin kita tergamak membiarkan pelajar-pelajar ini berlapar sekiranya kantin sekolah tidak dibuka bukan? Islam merupakan agama yang indah, mengajar kita untuk bertoleransi dan mengambil berat tentang kekangan yang dihadapi oleh semua orang termasuk masyarakat yang bukan Islam.



"Beliau perlu sedar, keputusan yang diambil oleh Fadhlina adalah sebagai seorang Menteri yang menjaga hal ehwal sekolah dan pendidikan di seluruh negara dan tidak terhad kepada satu-satu lokaliti semata-mata," katanya dalam kenyataan.



Beliau mengulas kenyataan Ketua Ulama Pas itu yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan Fadhlina tergopoh-gapah membuat keputusan mengarahkan semua kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan.

Nurhidayah berkata, pada hakikatnya kenyataan Ahmad sebenarnya yang menimbulkan polemik sedangkan keputusan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan telah melalui proses perbincangan yang mendalam demi pendidikan anak-anak di negara ini.



"Dengan itu, Wanita KEADILAN Pulau Pinang menyeru semua pihak terutamanya ahli-ahli Pas supaya bersama-sama berlumba-lumba beramal di bulan Ramadan berbanding saling menjatuhkan demi kepentingan politik," ujarnya.

 


 

No comments: