Kenyataan Hj Hadi skim KWSP tidak Islamik mengelirukan - Nik Nazmi


 

Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan isu pencen penjawat awam mengelirukan orang ramai, demikian menurut Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.



Beliau berkata dakwaan Ahli Parlimen Marang itu kononnya Kerajaan Persekutuan akan mengurang atau menghentikan skim pencen dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam tidak tepat kerana cadangan untuk menyemak semula saraan kakitangan kerajaan tidak menyentuh penjawat awam sedia ada.



"Hakikatnya, cadangan kerajaan adalah untuk menyemak semula saraan semua penjawat awam sedia ada dan mengkaji opsyen pengambilan penjawat awam baharu dengan kaedah persaraan baharu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan skim pencen sedia ada.



"Sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama, Abdul Hadi tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang tidak memberi gambaran sebenar terhadap cadangan Kerajaan Persekutuan," katanya menerusi kenyataan.



Dalam perkembangan sama, Nik Nazmi mendakwa Hj Hadi cuba memberi gambaran keliru bahawa caruman KWSP adalah tidak Islamik sedangkan dana persaraan itu turut memiliki pilihan simpanan syariah.



"Pilihan simpanan syariah diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip syariah. Untuk memastikan prinsip syariah dipatuhi, suatu rangka kerja tadbir urus syariah diwujudkan untuk mentadbir urus aspek pematuhan syariah bagi simpanan pencarum," katanya.



Nik Nazmi yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Kelantan dan Terengganu berkata, cadangan menggantikan sistem pencen dengan caruman KWSP juga pernah diumumkan oleh agensi kerajaan Kelantan iaitu Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 2022 yang dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum.



"Mengapa semasa YIK mengumumkan cadangan ini tiada bantahan daripada Pas kalau hendak dikatakan KWSP tidak Islamik atau tidak mengikut ajaran Rasulullah SAW," katanya.



Nik Nazmi berkata Pas seharusnya memiliki tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) milik parti itu yang ditubuhkan sejak lebih 30 tahun lepas terjaga, mengambil kira dakwaan guru terlibat tidak memiliki pelan persaraan termasuk KWSP selain dibayar di bawah paras gaji minimum RM1,500.

 

No comments: