Terus siasat, dakwa walaupun setelah minta ampun





Terus siasat, dakwa walaupun setelah minta ampun

Mac 6, 2024 


Bukan sekali dua kita menyaksikan insiden pemimpin parti politik mengeluarkan kenyataan melampaui batas, termasuk terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Sultan, tetapi kemudian menarik balik dan memohon ampun. Mereka seolah-olah tidak memahami peribahasa 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya' biarpun sudah sebati dalam adat bangsa dan adab agama.


Terbaharu, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengutuskan warkah Menjunjung Kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas mengeluarkan kenyataan ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Raja-Raja Melayu. Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi itu yang turut disiasat polis berhubung tulisannya, 'Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan'.


*Di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengakui kekhilafan kenyataannya pada minggu lalu mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahguna kuasa dan memohon maaf jika kenyataan dikeluarkannya menyentuh Yang di-Pertuan Agong. Susulan kenyataan itu, Wan Saiful terlepas daripada usul menggantung kehadiran Sidang Dewan Rakyat apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik, sebelum dipersetujui Speaker, Tan Sri Johari Abdul.*


Walaupun tiada manusia tidak melakukan kesalahan, kita mengingatkan ahli politik, termasuk Ahli Parlimen sepatutnya menunjukkan teladan, terutama dalam adab dan etika dengan Yang di-Pertuan Agong serta Sultan. Bukankah semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mengangkat sumpah termasuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya dengan institusi diraja termaktub secara jelas?


Hakikatnya, ahli politik terutama pemimpin parti tidak boleh menjatuhkan kedudukan mereka setaraf orang biasa seperti pempengaruh mudah-mudah memuat naik kandungan media sosial melampaui batas, tetapi kemudian meminta maaf. Mereka sepatutnya menunjukkan adab, etika dan integriti lebih tinggi daripada masyarakat umum termasuk kepada pemimpin bawahan dan ahli parti pada peringkat akar umbi kerana kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari.


Justeru, kita meminta Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menelaah tulisan pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain tersiar di Muka 10 hari ini menjelaskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama sekali berlainan dengan konsep Westminster di United Kingdom (UK). Jika ada perbezaan pandangan sekalipun, ia perlu disampaikan kepada baginda secara beradab kerana digariskan dalam Perlembagaan melalui amalan adat bangsa.


Di sebalik permohonan maaf itu, kita meminta polis meneruskan siasatan seperti dilakukan kepada Menteri Besar Kedah sebelum ini yang walaupun meminta ampun, perlu berdepan dengan implikasi undang-undang. Ini kerana penyiasatan dan pendakwaan jika ada kes perlu dijalankan bukan sahaja set keadilan sama perlu dikenakan kepada semua tanpa mengira sama ada pemimpin politik mahupun orang biasa, bahkan sebagai pengajaran supaya tidak mengeluarkan kenyataan melampaui batas terutama kepada institusi diraja.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/03/1220080/terus-siasat-dakwa-walaupun-setelah-minta-ampun



No comments: