Anwar seru pemimpin ASEAN, Australia sokong gencatan senjata di Gaza


6 Mac 2024 


Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pemimpin ASEAN dan Australia agar dapat menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember lalu yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan berkekalan di Gaza, Palestin. 


Perdana Menteri membuat gesaan itu ketika menyentuh situasi getir di Gaza sebelum Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne hari ini.


"Kita harus mendesak agar permintaan ini direalisasikan dengan segera dan kekal," katanya pada sesi pemukiman sidang kemuncak itu.


Anwar berkata, hari demi hari situasi di Gaza terus bertambah buruk dan sehingga kini telah mengorbankan lebih 30,000 orang awam Palestian termasuk lebih 12,000 kanak-kanak manakala bayi yang tidak berdosa mati akibat kebuluran. 


"Oleh itu, gencatan senjata segera dan kekal adalah sangat mendesak," katanya.


Selain itu, Anwar berkata penyaluran bantuan kemanusiaan yang selamat, cepat dan tanpa halangan kepada orang awam di seluruh Gaza perlu dibenarkan untuk diteruskan.


"Malaysia menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan lebih berani untuk memaksa Israel agar mematuhi langkah sementara yang dikeluarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Januari lalu dan menyeru semua pihak untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza," katanya.


Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menyeru negara-negara tidak mensensasikan hasil siasatan terhadap dakwaan baru-baru ini melibatkan beberapa petugas Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA). 


Selain itu katanya pertubuhan dunia itu perlu mempertimbangkan semula hukuman kolektif yang diputuskan dan merayu sokongan kewangan mereka kepada UNRWA dikembalikan semula, katanya.


Anwar berkata secara kolektif, ASEAN dan Australia boleh memainkan peranan konstruktif dalam masyarakat antarabangsa ke arah mencari penyelesaian secara aman dan berpanjangan dalam konflik itu.


"Sebagai negara yang bertanggungjawab, kita terikat dengan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa untuk menegakkan prinsip asas keadilan," ujarnya.

https://www.suarakeadilan.my/post/anwar-seru-pemimpin-asean-australia-sokong-gencatan-senjata-di-gaza




No comments: