PMX MEMPENGERUSIKAN MAJLIS PERANCANG FIZIKAL NEGARA BAGI MEMUDAHKAN DAN MENYEDIAKAN KEMUDAHAN PELABURAN

 



Pada hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-43 sebagai suatu wadah bagi Kerajaan Persekutuan berunding dengan Kerajaan Negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan. 


Sekali lagi saya telah memberi penekanan kepada usaha mempercepat tempoh kelulusan pembangunan supaya dapat memangkinkan pelaburan dan memperbaiki tahap memudah cara perniagaan (ease of doing business) di Malaysia. 


Aspek kecekapan dan kecepatan dalam menguruskan kelulusan pembangunan merupakan perkara dilihat lebih penting oleh para pelabur berbanding insentif kewangan. Ini perlu diberi perhatian yang serius, terutama oleh Pihak Berkuasa yang  terlibat dalam usaha kita terus menarik dan memudah cara pelaburan ke dalam negara.


Pelabur juga lebih berminat dengan ketersediaan infrastruktur dan kepakaran modal insan yang membolehkan mereka untuk memulakan operasi dengan kadar segera mengikut kesesuaian pelaburan yang dibuat. Sekiranya Malaysia tidak berjaya dalam aspek ini, kemungkinan besar ini akan menyebabkan pelabur berpindah ke destinasi lain di kawasan serantau. 


Saya juga turut menekankan tentang keperluan untuk melihat kepada pembangunan ekosistem yang lengkap yang bersesuaian dalam membangunkan Pusat Data (Data Centre) bagi memastikan cadangan pembangunan Pusat Data tersebut mempunyai nilai tambah (value added) dan lebih berdaya saing.


Sehubungan itu, saya menyeru agar semua pihak yang terlibat untuk menekankan ekosistem dan landskap pelaburan negara supaya lebih kreatif dalam menawarkan ruang perindustrian dan perniagaan yang lebih mesra pelabur di samping meneruskan usaha untuk mempercepatkan proses pembangunan agar matlamat yang ditetapkan dapat dicapai.


#MalaysiaMADANI