BIRO MAHASISWA KEADILAN SAMBUT BAIK PINDAAN AUKU

 

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) terkait peruntukan yang membenarkan Mahasiswa untuk menubuhkan danmenguruskan kumpulan wang mereka sendiri.

Ketua Biro Mahasiswa AMK Malaysia, Aliff Naif Mohd Fizam melalui satu kenyataan berkata, langkah itu dianggap satu reformasi dalam pergerakan Mahasiswa.

“Kebebasan ini beri erti dan tanggungjawab lebih besar, seiring dengan aspirasi untuk meletakkan lebih kepercayaan kepada mahasiswa untuk menguruskan dan membuat keputusan dalam organisasi.

“Sudah tentu mahasiswa harus bersedia dari aspek teknikal untuk mengawal selia pengurusan kewangan mereka, selain bersedia untuk diaudit dan diambil tindakan sekiranya berlaku salah laku atau penyelewengan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Pada 27 November lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membentangkan Rang Undang-Undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 bagi bacaan kali pertama di Sidang Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu memperuntukkan pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) antaranya untuk membenarkan pungutan wang dan penerimaan wang serta sumbangan lain oleh Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar universiti.

Dalam kenyataan sama, Aliff Naim juga berkata, Biro Mahasiswa AMK Malaysia turut mengambil maklum pindaan yang akan memencarkan (decentralize) kuasa bagi tindakan tatatertib daripada Naib Canselor kepada sebuah Jawatankuasa Tindakan Tatatertib.

Langkah itu jelasnya merupakan langkah progresif yang tidak memusatkan kuasa kepada individu semata-mata.

“Memandangkan jawatankuasa berkenaan hanya menetapkan dan tidak mengehadkan keahlian kepada sekurang-kurangnya tiga individu, iaitu Timbalan Naib Canselor dan pekerja universiti yang dilantik, kami cadangkan diberikan ruang kepada wakil mahasiswa agar wujud keseimbangan representasi dalam jawatankuasa tersebut,” ujarnya.

Sementara itu beliau turut melahirkan kegusaran berkaitan pindaan yang memasukkan Subseksyen 4A selepas Subseksyen 4 dalam Seksyen 48 dalam Jadual Pertama, yang memberikan kuasa kepada pihak lembaga untuk mengurangkan atau melanjutkan tempoh keahlian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Sehubungan itu pihaknya menuntut agar jaminan diberikan oleh kerajaan atau universiti bahawa peruntukan ini tidak akan disalahgunakan untuk menekan atau ugut pimpinan mahasiswa yang bersikap vokal terhadap pentadbiran universiti mahupun kerajaan.

“Autonomi dan kebebasan bersuara mahasiswa perlu dipelihara dengan baik selepas dilakukan pindaan.

“Pimpinan mahasiswa di universiti juga harus bersedia menubuhkan jabatan atau biro untuk menguruskan hal ehwal perundangan golongan itu.

“Ia seharusnya menjadi opsyen dalam menuju kemandirian susulan perubahan yang berlaku menerusi pindaan tersebut,” tambahnya.



No comments: