KEMUNGKINAN AKAN DAPAT.

 



Ini bermakna berkemungkinan besar polis telah mendapat DNA pembunuh tersebut. 


****************

Polis telah mengambil sejumlah 228 ujian asid deoksiribonukleik (DNA) penduduk di Apartment Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya, Selangor bagi menyiasat dan mencari pembunuh kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin.


Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi besar-besaran termasuk pemeriksaan dari rumah ke rumah dan mengambil DNA penduduk di apartmen berkenaan bermula semalam dan akan diteruskan sehingga hari ini.


“Setakat pagi tadi sebanyak 5,628 orang dan 2,484 unit rumah telah diperiksa. Ia melibatkan 18 blok di apartmen berkenaan.


“Keadaan cuaca hujan (sebelah pagi) memang memperlahankan operasi pencarian dan proses untuk mendapatkan bukti kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Dia berkata operasi itu melibatkan 188 anggota lain-lain pangkat dan 90 pegawai daripada pelbagai unit PDRM.


Sementara itu, semasa tinjauan Bernama di apartmen itu hari ini kelihatan polis menggunakan dua ekor anjing Unit Pengesan (K9) iaitu Ricks dan Gucci dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA untuk memeriksa sebuah stor dan rumah-rumah berdekatan lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan.


Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai, dan ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya pada keesokannya, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman.


Dalam pada itu, datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd Reba, 55, ketika ditemui di kediaman ibu bapa Zayn Rayyan hari ini menolak kematian cucu sulungnya itu disebabkan dendam.


Menurut Zahari, anak lelakinya Zaim Ikhwan dan menantunya, Ismanira Abdul Manaf baru sahaja menetap di Apartment Idaman sekitar tiga tahun lepas.


“Rutin harian mereka pergi kerja balik kerja, hanya jiran depan rumah sahaja yang kenal dan mereka tidak berdendam dengan sesiapa,” katanya.


-Bernama