Kerajaan Madani menjaga Islam.

 Kerajaan Madani menjaga Islam. 


*************


KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN PELANTIKAN DAN MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA MENGKAJI KOMPETENSI DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN) UNTUK MENGGUBAL UNDANG-UNDANG ISLAM


Kerajaan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam (Jawatankuasa Khas) semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-70 (MKI) pada 28 Ogos 2023.


YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia juga telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tersebut dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Ogos 2023.


Jawatankuasa Khas ini bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.


Penubuhan Jawatankuasa Khas ini merupakan salah satu usaha dan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan Negeri demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini.


Kerajaan telah bersetuju untuk melantik individu yang mempunyai kredibiliti, serta mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang perundangan untuk menganggotai Jawatankuasa Khas ini. Anggota Jawatankuasa Khas ini terdiri daripada sebelas (11) anggota seperti yang berikut:


1- YABhg. Tun Dato Seri Zaki bin Tun Azmi, Mantan Ketua Hakim Negara sebagai Pengerusi;


2- YBhg. Tan Sri Dato Setia Mohd. Zawawi bin Salleh, Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan;


3- YAD Dato Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Anggota Majlis Agama Islam Selangor;


4- YAA Datuk Mohd Nadzri bin Abdul Rahman, Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Negeri Melaka;


5- YBhg. Dato Anas bin Ahmad Zakie, Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara;


6- YBrs. Tuan Shamsul bin Bolhassan, TImbalan Ketua Bahagian Guaman I, Jabatan Peguam Negara;


7- YBrs. Prof. Dr. Farid Sufian bin Shuaib, Dekan/Profesor, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM);


8- YBhg. Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi bin Hashim @ Wan Husain, Profesor Madya, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM);


9- YBrs. Puan Azirul Liza binti Abdullah, Ketua Unit I, Unit Penyelidikan Perlembagaan, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Peguam Negara;


10- YBrs. Tuan Musa bin Awang, Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM); dan


11- YBrs. Dr. Zulqarnain bin Lukman, Peguambela, Peguamcara & Peguam Syarie.


Pada hari ini telah diadakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pengerusi dan anggota Jawatankuasa Khas serta Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas di Kompleks Islam Putrajaya. 


Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas yang telah diadakan pada petang tadi secara ringkasnya telah membincangkan Terma Rujukan Jawatankuasa Khas serta merangka hala tuju dalam melaksanakan kajian berhubung dengan isu konflik bidang kuasa ini. 


Saya meletakkan sepenuh kepercayaan dan harapan kepada Jawatankuasa Khas ini untuk memberikan sumbang saran dan pandangan-pandangan yang bernas dan bermanfaat dalam setiap forum Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini nanti dalam usaha mencari satu jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu konflik bidang kuasa ini daripada berterusan. 


Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha kita pada hari ini akan memberi kebaikan kepada generasi kita pada hari esok dan undang-undang Syariah terus dimartabatkan malah kedudukannya terus dipertingkatkan pada masa akan datang.


Sekian, terima kasih. 


SENATOR DATO' SETIA DR. MOHD NA'IM BIN HAJI MOKHTAR

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)


5 Disember 2023



No comments: