KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGONG DAP


1.    Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan Dato’ Ngeh Koo Ham yang mencadangkan pelantikan pakar perundangan bukan Islam untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah merupakan satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa tersebut.


2.    Jawatankuasa tersebut ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Hal- Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor dan bertujuan untuk menasihati Majlis tersebut dengan cadangan-cadangan memperkasakan bidang tugas Mahkamah Syariah.


3.    Sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa.


4.    Perlu ditegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI.


5.    Saya amat sedar bahawa kenyataan Dato’ Ngeh akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.


6.    Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan DYMM Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI.


7.    Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana  sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh Jemaah Menteri  dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.


8.    DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama.


9.    Marilah kita mengakhiri tahun 2023 ini dengan semangat yang harmoni dan menyumbang kepada Malaysia yang makmur dan sejahtera pada tahun 2024.


 

LOKE SIEW FOOK

SETIAUSAHA AGUNG DAP


29 Disember 2023




No comments: