MANA MP BERUAS, BILA LAGI NAK MINTA MAAF?


Semua pihak ternampak menolak cadangan Ahli Parlimen DAP Beruas, Ngeh Koo Ham agar dilantik pakar bukan Islam menganggotai jawatankuasa khas berkaitan undang-undang syariah.


Yang jelas, tidak ada sama sekali yang menyokong cadangan beliau itu.


Bahkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sendiri menganggap cadangan Ngeh itu suatu kekhilafan.


Katanya, perlu ditegaskan bahawa penubuhan jawatankuasa khas itu bukan ditentukan oleh jemaah menteri tetapi oleh Majlis Kebangsaan Hal-ehwal Agama Islam atau MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor dan mereka melapor secara langsung kepada MKI.


“Sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang kemudian perlu dibawa ke jemaah menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.


Berita penuh di sini – https://m.malaysiakini.com/news/691623


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar pula menyifatkan cadangan Ngeh itu tidak berasas sama sekali.


Ini kerana kata beliau, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam itu dianggotai para pakar Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah.


“(Mereka) berkelayakan untuk membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni dapat dibuat bagi menyelesaikan semua isu yang berbangkit dalam perkara ini demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini,” tambahnya.


Berita penuh di sini – https://m.malaysiakini.com/news/691628


Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.


Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.


Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Selangor turut bertitah, MKI yang dipengerusikan baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.


Di sini berita selanjutnya – https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/478358


Menyusul hal yang sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga turut bersuara agar urusan orang Islam tidak dicampuri oleh bukan Islam.


“Merujuk kepada kenyataan Sultan Selangor yang mengingatkan agar dihormati dan tidak dicampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di negara ini, saya mendukung penuh kenyataan tersebut,” demikian tegas Anwar.


Selanjutnya apa kata Perdana Menteri itu ada di sini – https://m.malaysiakini.com/news/691665


Kesimpulannya, apa yang diusulkan oleh Ngeh adalah ditolak dan tertolak sepenuhnya secara automatik.


Yang nyata, saranan beliau hampir-hampir mencetuskan bibit-bibit ketidakharmonian dalam negara ini yang telah memaktubkan Islam sebagai agama Persekutuan.


Soalnya, di mana Ngeh sekarang ini?


Bila lagi beliau mahu memohon maaf dan menarik balik cadangan tidak masuk akalnya itu?


Kenapa masih berdiam diri? – ShahbudinHusin 30/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/30/mana-mp-beruas-bila-lagi-nak-minta-maaf.html



No comments: