Kurang 24 jam Ahli Parlimen (MP) Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim
mengumumkan sokongan beliau kepada pentadbiran Perdana Menteri (PM) Datuk Seri
Anwar Ibrahim, hari ini Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik pula berbuat
demikian.
Dalam satu kenyataan Zahari berkata, beliau telah memperhalusi dan
mempertimbangkan tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di kawasannya
terutama berkenaan kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang mesti
diteruskan maka beliau mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri
Anwar bermula dari tarikh kenyataan tersebut dikeluarkan.
"Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti
diteruskan tanpa sebarang kompromi. Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku
Ahli Parlimen saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam
parlimen Jeli.
"Namun demikian, saya akan taat, setia dan kekal sebagai ahli
parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," katanya.
Dalam pada itu, Zahari turut bersedia berdepan tindakan disiplin demi
mempastikan pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa
keadaan serta tidak ketinggalan menerima pembangunan dari Kerajaan Pusat.
Beliau berikrar akan menyokong dasar dasar dan inisiatif yang
Kerajaan lakukan di dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan
dan kepentingan rakyat sebagai fokus utama.
"Sokongan saya ini berterusan sehingga Pihanraya Umum (PRU)
yang seterusnya.
"Ingin saya tegaskan bahawa pengisytiharan sokongan kepada
Perdana Menteri ke 10 ini dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh dan tekanan
dari mana-mana pihak. Ianya dibuat atas kerelaan saya sendiri demi rakyat dalam
parlimen Jeli," katanya lagi.
Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar
Dzulkarnain Abdul Khalid, dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman
mengambil tindakan menyokong pentadbiran PM Anwar.
Tindakan Ahli Parlimen Jeli ini juga menimbulkan tanda tanya
mengenai kepercayaan Ahli ahli Parlimen Bersatu terhadap kepimpinan parti
mereka.