Posted By: Redzuan RF8 Media
Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Adam menempelak Ketua Pembangkang Malaysia yang juga pemimpin tertinggi Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin lewat kenyataan beliau semalam, bahawa rakyat Malaysia rindukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut Lokman, majoriti rakyat Malaysia telah pun melupakan kerajaan PN kerana rekod pemerintahan PN amat buruk berbanding Kerajaan Perpaduan.
“Hamzah Zainudin mengatakan hari ini rakyat mahu PN kembali memerintah Malaysia.
“Rakyat gila mana yang nak kerajaan yang telah lockdown Malaysia selama 18 bulan? Sekejap buka sekejap tutup, kerajaan mendarurat negara sehingga rakyat tak boleh keluar cari makan secara sempurna. Ramai yang hilang kerja, hutang along, bunuh diri.
“Angka bunuh diri meningkat 143%, itu zaman Muhyiddin jadi PM, tiba tiba Hamzah mengatakan rakyat ‘rindu’ zaman tersebut,” bidas Lokman sinis dalam siaran langsung di Facebook malam tadi.
Malah kata beliau, wakil rakyat dari Bersatu sendiri sudah tidak lagi rindu atau menanti natikan kerajaan PN. Mereka telah patah semangat menunggu tertubuhnya kerajaan berkenaan lalu mengumumkan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
“Dia punya wakil rakyat pun tak boleh nak kawal. Wakil rakyat semakin liar, sudah tidak menghormati institusi Presiden Bersatu itu sendiri apatah lagi Pengerusi PN.
“Kita lihat hari ini wakil rakyat Kuala Kanngsar memberikan sokongan kepada PMX, wakil rakyat dari Labuan yang juga Ketua Perhubungan Wilayah Persekutuan sudah beri sokongan kepada PMX. Kita dengar khabar juga beberapa yang lain sedang menunggu giliran untuk menyatakan sokongan kepada PMX,” katanya.
Mengenai rungutan Hamzah bahawa PN enggan meneruskan rundingan perolehan peruntukan Ahli Parlimen bersama Timbalan Perdana Menteri 1 kerana ditekan pelbagai syarat, Lokman berkata, semasa Pakatan Harapan (PH) menandatangani memorandum kerjasama (CSA) dengan PM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dahulu pun terdapat syarat yang dikenakan, dan PH bersetuju.
“Nak tanya dengan Hamzah, ketika dia menjadi Menteri Dalam Negeri kepada Ismail Sabri, bila Ismail Sabri tandatangan CSA dengan pembangkang, bersama Anwar, Guan Eng, Mat Sabu, adakah kerajaan PN yang dikenali sebagai Keluarga Malaysia itu langsung tidak meletakkan sebarang syarat?
“Zaman Muhyiddin pun, bila nak hilang kuasa dia cuba juga nak tandatangan CSA tetapi belum sempat dia dah melingkup
“Perbincangan CSA dibuat Ismail Sabri, antara syarat dikenakan kepada pembangkang, setiap usul yang dibawa ke parlimen untuk diluluskan setelah dibincangkan dengan pembangkang maka pembangkang perlu menyokong usul dibawa kerajaan.
“Itu syarat yang PH setuju. Sekarang bila dia (Hamzah) kita minta bincang dengan TPM1 semua syarat dia tak mahu terima tetapi peruntukan dia nak,” sindirnya lagi.