MALAYSIA JANGKA PELABURAN JEPUN SEHINGGA RM30 BILION TAHUN INI

 



Malaysia menjangkakan pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun akan melebihi RM30 bilion pada tahun ini berdasarkan keyakinan negara matahari terbit itu terhadap pemulihan ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik Bernama berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memaklumkan akan terdapat pelaburan baharu dari Jepun dalam dua bulan berbaki tahun ini.

“Ini sangat mengagumkan daripada syarikat (Jepun) yang sudah pun melabur di Malaysia, yang sentiasa membuat komitmen untuk meningkatkan dan mengembangkan pembangunan mereka ke Malaysia,” kata Anwar dalam sidang media menerima kunjungan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar juga menekankan kerjasama bersama Jepun sebagai negara rakan Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia yang komited untuk melaksanakan usaha menyahkarbon dan mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau sifar bersih yang lebih besar.

“Perbincangan kami memberi keutamaan kepada peralihan tenaga. Kita berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan Jepun kerana kita telah mengeksport gas asli cecair melalui Petronas selama beberapa dekad dan ini adalah sesuatu yang Perdana Menteri Kishida dan delegasinya sangat berminat untuk lakukan,” katanya.

Perdana Menteri Jepun yang tiba hari ini dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia.