Alhamdulillah pada awal pagi ini, 13 Nov 2023, saya telah berkesempatan melangsungkan panggilan video dengan Puan Nurul Ain Haron, rakyat kita yang terkandas di Semenanjung Gaza sejak perang meletus lebih sebulan yang lalu.
Beliau dan suaminya, Mohamed A.M. Shaat seorang warga Palestin telah berjaya dibawa keluar pada malam Ahad, 12 Nov di sempadan Rafah.
Dalam perbualan kami, Puan Nurul dan suaminya telah menyampaikan penghargaan dan ucapan berbanyak terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang sedaya upaya memastikannya dan suami selamat dibawa keluar dari Gaza.
Mereka turut merakamkan rasa terima kasih kepada kakitangan Kedutaan Malaysia yang tidak berputus asa dalam memastikan proses membawa mereka keluar dari zon perang dapat dilakukan.
Dalam konteks ini, saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih Kerajaan Malaysia kepada beberapa buah negara lain yang tidak ketinggalan menghulurkan apa juga bantuan dalam proses membawa keluar rakyat Malaysia ini.
Syukur kepada Allah SWT jua.
#MalaysiaMADANI