Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Kemaman, Terengganu yang akan
membuka tirai dengan penamaan calon pada Sabtu ini akan mengumpulkan jentera
KEADILAN untuk membantu UMNO di kawasan kubu kuat Pas itu.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor dan
Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari, KEADILAN di kedua dua negeri buat masa ini
siap sedia membantu sekutu penting mereka dalam Kerajaan Perpaduan untuk
menghadapi cabaran PN.
"Bagi pihak Selangor dan Pahang, Pakatan Harapan, kita telah
berhubung dengan rakan rakan kita di Pahang dan kita sedia membantu di lokaliti
atau kawasan mana yang kita beri tumpuan.
"Setakat ini KEADILAN Terengganu tumpu di DUN Chukai di
antara tiga DUN di Kemaman.
"Pahang dan Selangor sikit sebanyak kita bersedia. Tugas kita
membantu jentera BN. Jadi kita tunggulah seterusnya," katanya diketika
ditemui pemberita pada program ziarah Deepavali.
Amirudin yang juga Naib Presiden KEADILAN berkata, parti itu akan
menggunakan sepenuhnya kekuatan yang ada di Kemaman untuk membantu jentera BN
kerana parlimen tersebut pernah dimenangi oleh KEADILAN dalam Pilihan Raya Umum
1999 lalu.
"Sebenarnya KEADILAN mempunyai base yang besar kerana pernah
sepenggal pada 1999 mewakili kawasan tersebut. Kita akan cuba membantu,"
katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Kemaman, pada 2
Disember depan. Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala
hari pengundian awal (28 November).
PRK Kemaman diadakan apabila pada 26 September lepas Mahkamah
Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili
Pas setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil
(pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan
mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan
sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membawa
kepada PRK bagi melantik wakil rakyat baharu.