Daerah Kapit bakal terima IPD baharu bernilai RM150 juta

 


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Daerah Kapit di Sarawak bakal mempunyai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu yang akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM150 juta.


Pada lawatan kerja ke Daerah Kapit dan Song pada Ahad, Saifuddin berkata, IPD itu akan dibina sebuah lokasi yang baharu yang akan dikenal pasti kelak.


Projek itu disasar untuk dilaksanakan pertengahan tahun hadapan selepas proses mengenal pasti dan pengambilan tanah selesai.


"Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi akan membantu memudahkan proses mencari tapak yang baharu dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan," katanya.


Saifuddin berkata begitu kepada pemberita pemberita selepas lawatan kerja bagi Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas (PPK) Menangani Isu Penduduk Sarawak Tanpa Kad Pengenalan Diri.

Mengulas lanjut beliau berkata, IPD sedia ada di daerah itu diklasifikasikan sebagai Kategori C dan diketuai Ketua Polis Daerah (KPD) berpangkat Timbalan Superintenden.


Kementerian jelasnya telah mengambil maklum permohonan agar IPD Kapit dinaik taraf kepada Kategori B yang akan diketuai oleh Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden sesuai dengan pertambahan penduduk Kapit.


Selain pembinaan IPD baharu di Kapit, Saifuddin turut memaklumkan sebanyak RM318,000 akan diperuntukkan bagi kerja-kerja baik pulih di IPD Song.



No comments: