Kepulangan PMX Disambut Meriah Pelbagai Lapisan Masyarakat



 Oleh: Noraini Nordin




ULASAN: Terpancar wajah-wajah ceria Wanita KEADILAN saat menanti ketibaan PMX daripada lawatan kerja setelah menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke 78 di New York petang semalam.



Kami berkongsi rasa bangga dan gembira untuk menunggu kepulangan PMX sebagai tanda menghargai kegigihan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha keras menjulang nama Malaysia ke persada dunia.



Turut bersama kami Ketua Wanita KEADILAN Pusat YB Fadhlina Sidek yang telah siap sedia menanti PMX 40 minit sebelum pesawat khas beliau mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA kira-kira jam 5 petang semalam.



Fadhlina menyerahkan jambangan bunga kepada ibu reformasi yang kami kasihi Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang turut bersama PMX dalam lawatan kerja tersebut.



Antara pemimpin kerajaan yang menyambutnya ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.



Misi mencari pelaburan berjaya





Turut serta menyambut kepulangan Perdana Menteri pemimpin parti, NGO dan kira-kira 500 rakyat daripada pelbagai lapisan, kaum serta agama sebagai tanda penghargaan dan bangga dengan misi lawatan beliau yang berjaya mengharumkan lagi nama negara.

 

Semasa di Amerika Syarikat, selain menyampaikan ucapan di UNGA, Anwar juga mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi negara itu untuk menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan ke negara ini.



Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat dengan 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500, termasuk Airbnb, Amazon, Perkhidmatan Web Amazon, Boeing dan Kimberly-Clark di Kelab Harvard.



Pada acara Invest Malaysia New York yang dihadiri para pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah AS$40 trilion pula, beliau memberi penekanan tentang komitmen kerajaan untuk memastikan suasana pelaburan yang kondusif buat para pelabur asing.



'Jurujual Islam dan ummah'



Di samping itu, sempena lawatan berkenaan, PM turut dijemput untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York.

 

Penulis (kanan) mengangkat sepanduk mengimbau 25 tahun gelora perjuangan Anwar Ibrahim



Anwar merupakan pemimpin dunia Islam yang pertama dijemput menyampaikan khutbah di Pusat Kebudayaan Islam tersebut dan topik yang disentuhnya ialah tentang perdamaian, keharmonian dan toleransi sesama muslim.



Setelah selesai solat Jumaat, Anwar diminta oleh komuniti Islam New York menyempurnakan lafaz syahadah seorang saudara baharu, Andrew Vinals untuk memeluk agama Islam.



Ertinya, dalam lawatan ke New York, selain membawa misi negara dengan menyuarakan beberapa isu penting di pentas UNGA dan menjadi “jurujual” untuk menarik pelaburan, Anwar dalam masa yang sama juga menjadi 'jurujual Islam dan ummah' melalui kemunculannya menyampaikan khutbah dan mengislamkan seorang saudara baru di bumi Amerika Syarikat.



Selamat kembali ke tanahair PMX.



Kami sangat bangga memiliki Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM Malaysia.



________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

 

No comments: