Buka kuota import beras boleh atasi masalah kenaikan harga



Masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) dan kenaikan harga beras putih import mungkin boleh diatasi secara jangka pendek dengan membuka kuota pemimportan beras kepada pelbagai pihak.


Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berpendapat usaha sedemikian perlu dicuba untuk menstabilkan pasaran beras dalam negara buat masa ini.

"Mungkin (boleh difikirkan) untuk membenarkan kuota 20 - 30% import beras kepada NAFAS, FAMA dan syarikat selain Bernas. Persaingan itu sihat," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau juga mencadangkan dilakukan pelepasan sedikit stockpile beras kerajaan sekiranya keadaan menjadi kritikal; pembelian kerajaan ke kerajaan di antara Malaysia dan India; juga menggunakan platform ASEAN Integrated Food Security (AIFS) Framework iaitu beli beras dari negara ASEAN sekiranya berlaku krisis sebagai langkah yang perlu difikirkan.


Jelasnya, pasaran beras global hanya kembali stabil seawal bulan November 2023 atau selewat lewatnya April 2024 apabila India mula membenarkan kembali eksport manakala hasil padi dalam negara pula telah dituai.


Selain itu, mantan Timbalan Menteri Pertanian itu berkata, langkah penguatkuasaan ke atas industri beras turut memainkan peranan penting, terutama mengelak berlakunya penyeludupan dan sindiket tukar beg beras memandangkan jurang harga beras import dan BPT yang jauh berbeza, kira kira 40%.


Di samping itu, Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia itu juga mencadangkan langkah jangka panjang bagi menjadikan negara mencapai tahap sara diri beras (SSL)


Katanya, tahap SSL hari ini sekitar 65% amat tidak memuaskan dan mengundang krisis makanan sekiranya terjadi malapetaka peringkat global.


"Dalam hal ini negara perlu meningkatkan pengeluaran padi tempatan.


"Jabatan Padi dan Beras yang mengawal semua agensi sektor padi dan beras.


"Juga transformasi seluruh rantaian sektor penanaman padi perlu dilakukan," katanya lagi

1 comment:

Hal said...

Cadangan dr pihak pn perlu juga.. Jangan asyik kutuk je.. Ada cadangan tak.. Ts muhyiddin mane