Seorang pakar ekonomi yang pernah berkhidmat sebagai Penasihat Khas Ekonomi kepada Tun Mahathir Mohamad sewaktu 22 bulan beliau menjadi Perdana Menteri, memberi cadangan agar skim pencen untuk Ahli Parlimen dan Menteri dimansuhkan.
Muhammed Abdul Khalid berpendapat, perkara itu perlu dilakukan untuk memberi “pengajaran” kepada ahli politik agar turut merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang kebanyakan.
Beliau sebaliknya mencadangkan, semua Menteri dan Ahli Parlimen hanya dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sahaja.
Sekali imbas, terutama melihat perangai sebahagian Ahli Parlimen yang “tak semenggah” sejak kebelakangan ini, kerap tidur di Dewan Rakyat dan bercakap pula banyak merapu, termasuk ada yang bersikap jelek serta biadap dengan kata-kata tidak sopan terhadap Perdana Menteri, cadangan Muhammed Abdul Khaled itu terlihat amat cantik sekali.
Ini kerana seperti membazir wang rakyat saja memberi pencen kepada Ahli Parlimen jenis “tak semenggah” itu.
Tetapi, tentulah lebih cantik jika Muhammed Abdul Khalid memberi cadangan ini ketika beliau masih berkhidmat selama 22 bulan dengan Tun Mahathir sebelum ini.
Kenapa ketika itu beliau hanya diam dan tidak melontarkan cadangan berkenaan?
Apa pun, harus disedari bahawa tugas sebagai Ahli Parlimen dan Menteri, termasuk juga Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik, iaitu pemegang jawatan politik yang layak menerima pencen, peranan dan beban mereka adalah melebihi penjawat awam biasa.
Mereka bekerja bermula seawal Subuh lagi hinggalah lewat malam dan tidak ada rehat sama ada pada cuti umum atau hari Ahad.
Setiap hari ada saja program di sana sini yang perlu dihadiri, itu belum kira lagi kalau berlaku banjir, kebakaran dan lain-lain bencana alam dalam kawasan.
Pendeknya, sepanjang masa mereka bekerja dan bergemulang dengan rakyat, kadang-kadang belum bangun tidur lagi sudah ada pengundi menunggu di bawah rumah untuk meminta bantuan.
Di waktu malam pun begitu keadaannya, kena selesaikan masalah rakyat dan mendengar rungutan mereka dahulu barulah boleh masuk ke bilik tidur.
Dengan beban tugas sebegitu, kalau penjawat awam perlu berkhidmat selama 25 atau 30 tahun baru boleh menikmati pencen, tiada salahnya orang politik patut diberi pencen, walaupun tempoh berkhidmat mereka lebih singkat.
Lagi pun, pencen itu hanya dinikmati setelah mereka berusia 55 tahun dan bukan serta-merta setelah tidak lagi memegang jawatan.
Namun, kebiasaannya ahli politik hanya mencapai kemuncak kerjaya mereka sewaktu berusia dalam lingkungan usia 50-an.
Ini bererti dalam usia 55 hingga 65 tahun, mereka masih lagi sibuk dengan kerja dan sentiasa berkhidmat untuk rakyat, walau dalam usia yang sama, penjawat awam biasa sudah boleh berehat dengan pencen masing-masing.
Hanya selepas itu, mungkin di ketika usia 65 atau 70 tahun, barulah pencen dapat dinikmati dan kalau panjang umur macam Tun Mahathir atau Tun Daim Zainuddin, bolehlah lama menikmati wang pencen tersebut.
Tetapi, untuk kewajaran yang lebih munasabah terutama ahli politik kebakangam ini semakin “tak semenggah” sebaik-baiknya wajar diubah peraturan iaitu hanya mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya dua penggal PRU saja patut diberikan pencen.
Mereka yang jadi Ahli Parlimen, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik selama sepenggal atau kurang dua penggal tidak perlu sama sekali diberikan pencen.
Dengan demikian, jika kerajaan bertukar setiap kali PRU sekali pun, masih banyak wang kerajaan boleh dijimatkan.
Berbeza dengan peraturan sekarang di mana berkhidmat selama 3 tahun saja sebagai Ahli Parlimen, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik, seseorang itu sudah boleh menikmati pencen, bayangkan berapa banyak “tunggul kayu” perlu disara kerajaan hingga mereka meninggal dunia kiranya setiap lima tahun kerajaan bertukar tangan? – ShahbudinHusin 22/09/2023.
https://shahbudindotcom.net/#google_vignette