PH-BN Rantau Panjang buat laporan polis terhadap Nassuruddin


 Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional kawasan Rantau Panjang membuat laporan polis ke Datuk Mohd Nassuruddin Daud susulan kenyataan beliau yang melabelkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan Kota Lama sebagai pihak yang menentang perjuangan Islam.



Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Rantau Panjang, Mohd Ridzuan Muhamad berkata, tindakan itu diambil susulan pihaknya melihat kenyataan Menteri Besar yang baharu dilantik itu berbaur hasutan yang boleh menimbulkan rasa perselisihan dalam kalangan umat Islam di negara ini.



Tambah Mohd Ridzuan, kenyataan dibuat Nassuruddin semasa menyampaikan kuliah di Medan Ilmu di Kota Bharu itu juga boleh menjurus ke arah fahaman takfiri dalam kalangan umat Islam di negara ini.



"Saya percaya kenyataan itu boleh mengelirukan masyarakat Islam bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh Malaysia.



"Sebab itu kami yang mewakili PH dan Naib Ketua UMNO Rantau Panjang, Anuar Mohamed mewakili BN hadir membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat membuat siasatan lanjut," katanya dipetik selepas laporan polis dibuat di IPD Pasir Mas pada Isnin.



Nassuruddin yang juga ADUN Meranti sebelum ini dibidas kerana melabelkan kemenangan gabungan BN dan PH di Galas serta Kota Lama sebagai melawan perjuangan Islam.



Ucapannya itu kemudian tular sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan warganet di laman sosial.



Susulan itu ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hasyim dan ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim mahu Nassuruddin membuat permohonan maaf termasuk kepada pengundi di kawasan dimenangi mereka.



Pada Ahad, Pemuda UMNO Kelantan turut membuat laporan terhadap Nassuruddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu susulan kenyataan keterlaluan tersebut.

 

No comments: