Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sentiasa
mengutamakan kebajikan golongan M40 dan tidak mengabaikan kelas pertengahan
itu.
Jelasnya, dakwaan beberapa pihak bahawa pendekatan kerajaan pada
ketika ini lebih tertumpu kepada golongan B40 disifatkan tidak tepat.
"Jadi beberapa langkah sudah kita ambil tetapi andaian beri
lebih kepada B40 itu tidak betul sebagai contoh tengok semua sekolah menengah
sains atau MRSM (Maktab Rendah Sains Malaysia) termasuk Kolej Melayu dan
lain-lain, manfaatnya kepada golongan paling miskin itu sangat kecil tidak
sampai satu atau dua peratus.
"Oleh sebab itu saya usulkan kepada Fadhlina (Menteri
Pendidikan) baru-baru ini, menyatakan bahawa sama ada sekolah khas dicadangkan
atau tidakpun, mesti diperuntukkan satu hingga lima peratus sahaja bagi yang
benar-benar miskin. Kalau tidak kesenjangan itu akan terus berlaku," kata
beliau ketika berucap di Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang,
Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan
Gabenor Bank Negara Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.
Sementara itu, menyentuh mengenai meritokrasi dalam pendidikan,
Perdana Menteri berkata sistem itu penting tetapi tidak boleh menjadi
satu-satunya kriteria bagi memastikan pengurusan dan tatakelola yang adil.
"Kalau nak bincang meritokrasi antara sekolah terbaik di
Kuala Lumpur dengan sekolah di Kapit, Sarawak, itu maknanya menggagaskan satu
formula yang tidak menekankan keadilan.
"Ada satu pihak cakap meritokrasi dan ada satu pihak cakap
hanya kuota (bumiputera), saya fikir kedua-duanya harus digabungkan, kalau
tidak, kita tidak mampu mengangkat invidu yang terbaik dalam kalangan
kita," katanya.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa
kepimpinan kementerian, bank serta golongan elit mendekati golongan bawahan
yang mempunyai pemikiran serta keluhan berbeza dalam perkara berkenaan.
"Kadang-kadang saya runsing juga, kita sudah merdeka sekian
lama dan matang tetapi kadang-kadang wacana kita itu ada dua dan ada pemisahan
dalam kalangan atasan dan (golongan) bawahan.
"Oleh kerana dia (golongan bawahan) tersisih dan terabai,
maka dia akan lari kepada isu kaum dan agama yang sempit kerana kita (golongan
atasan) tidak menyantuni mereka," jelas Perdana Menteri lagi.