Skandal 1MDB: PM tak tolak kemungkinan saman Goldman Sachs


 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak Malaysia mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) Goldman Sachs.


Pendirian itu dinyatakan Anwar dalam satu temu bual dengan CNBC yang disiarkan pada Isnin sebagai mengulas pembabitan syarikat berpengkalan di New York itu dalam skandal rasuah berbilion dolar membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


"Saya tidak menolak kemungkinan pelaksanaan prosiding semula menerusi tindakan undang-undang," katanya dipetik.


Sebelum ini, Goldman Sachs mencapai penyelesaian dengan Malaysia pada 2020 selepas bersetuju membayar AS$2.5 bilion (RM11.6 bilion) dalam bentuk tunai dan jaminan pemulangan aset berjumlah AS$1.4 bilion (RM6.5 bilion), manakala kerajaan menggugurkan semua pertuduhan jenayah terhadap Goldman.


Bagaimanapun awal tahun ini, Anwar yang ketika itu baru beberapa bulan dilantik sebagai Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia sedang meneliti semula perjanjian penyelesaian itu kerana jumlah yang dipersetujui terlalu kecil.


Sementara itu, Anwar dalam temu bual sama turut menyatakan pilihan lain yang bakal diambil, ia termasuk rundingan semula dengan bank berkenaan.


Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion (RM20.9 bilion) dicuri daripada 1MDB antara 2009 hingga 2014, dalam komplot yang membabitkan pihak tertinggi dalam kerajaan dan pengurusan bank di Malaysia dan beberapa negara lain.


Menurut Jabatan Keadilan AS, Goldman membantu 1MDB meraih AS$6.5 bilion (RM30.2 bilion) menerusi dua tawaran bon, dengan bank itu memperoleh bayaran AS$600 juta (RM2.8 bilion).


Menerusi perjanjian penyelesaian pada 2020, Goldman turut perlu membuat bayaran interim berjumlah AS$250 juta (RM1.16 bilion) jika kerajaan Malaysia tidak menerima aset dan hasil bernilai sekurang-kurangnya AS$500 juta (RM2.3 bilion) menjelang Ogos 2022, kata bank itu sebelum ini.

No comments: