MOSTI akan tingkat kesedaran terhadap kepentingan STI




 Sebuah jawatankuasa khas bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan muda terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi (STI) bakal ditubuhkan.



Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata jawatankuasa itu akan melibatkan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia.



Usaha meningkatkan kesedaran kepada STI itu jelasnya diambil berikutan statistik menunjukkan terdapat penurunan minat dalam kalangan pelajar lepasan sekolah yang mengikuti bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).



Penurunan minat itu jelas Chang adalah trend yang membimbangkan kerana Malaysia dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang 2030.



"Jawatankuasa khas ini berperanan mencari kaedah terbaik dalam mempromosikan STEM. Kerja-kerja awal telah dilaksanakan, namun jawatankuasa ini akan bermula secara rasmi dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi," katanya dipetik.



Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di Johor Bahru.



Pada 20 Julai lepas, Lih Kang dilapor berkata berdasarkan data KPM tahun lepas, peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM dari 2017 hingga 2022 menurun daripada 45.20 peratus kepada 40.94 peratus.



Kajian serupa turut menunjukkan penurunan minat terhadap sains dalam kalangan pelajar kepada 40 peratus pada 2022 berbanding 66.7 peratus pada 2019.



Sementara itu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Malim menjelaskan, faktor menyebabkan golongan muda tidak meminati bidang STEM susulan kesukaran menguasai aliran tersebut, proses pengajaran yang kurang menarik serta prospek pekerjaan dalam bidang itu yang masih rendah.



Justeru menurutnya menjadi tanggungjawab kerajaan dalam mempromosikan STEM dari peringkat awal persekolahan, sama ada melalui pendidikan formal mahupun kurang formal termasuk mempelbagaikan kaedah pengajaran seperti mengadakan program Minggu Sains Negara.



"Selain itu, kita juga menyeru pemain industri khususnya syarikat besar dan perindustrian untuk sama-sama mengaplikasikan sains dan teknologi dalam perusahaan mereka, kesemua ini sedang diusahakan MOSTI," katanya.

 

No comments: