Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyifatkan cadangan seorang pemimpin Perikatan Nasional agar negeri dikuasai pembangkang menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza sebagai "pendirian antikerajaan”
Presidennya, Brigedier Jeneral bersara Arshad Raji berkata, kumpulan veteran itu memandang serius laporan berhubung cadangan dibuat Ketua Pemuda PN berkenaan.
"Cadangan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari atas penggunaan tema dan logo berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan di empat negeri ditadbir PN dilihat mengkhianati prinsip federalisme yang diamalkan di negara ini.
"Patriot membidas pendirian antikerajaan sedemikian," katanya dalam kenyataan.
Tambah Arshad, cadangan itu bukan sahaja cubaan menanam sentimen anti kerajaan di negara ini, malah ia merupakan satu tindakan angkuh.
Sebagai “pembela negara”, katanya, ahli Patriot mengambil serius perbuatan dan niat pembangkang itu kerana ia menghantar “isyarat sangat berbahaya dan menetapkan duluan implosif”.
"Tidak pernah wujud pendirian sedemikian dalam sejarah kenegaraan kita sejak mencapai kemerdekaan pada 1957. Kenapa sekarang?" soalnya.
Sehubungan itu beliau mendesak agar kerajaan mengambil tindakan drastik terhadap perbuatan dan niat berbahaya PN.
Katanya, raja-raja Melayu tidak akan membenarkan pengkhianatan terhadap federalisme yang dipelihara selama beberapa dekad.