MESYUARAT PERTAMA KALI MAJLIS PELABURAN NEGARA





Anwar Ibrahim


 Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) telah berlangsung buat kali pertama yang mana ia memberi fokus terhadap hal-hal terkait usaha meningkatkan pelaburan negara.


Kerajaan kekal komited untuk menambahbaik dan memperkasakan ekosistem serta lanskap pelaburan negara sebagai usaha mengekalkan pelaburan langsung asing dan juga domestik.


Sehubungan itu, Mesyuarat MPN telah bersetuju menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) dengan melaksanakan satu inisiatif yang antara lain menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.


Langkah proaktif ini amat penting dalam memastikan pendekatan menyeluruh Kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur.


Pada masa sama, negara dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekaligus menjamin penyampaian perkhidmatan lebih berkesan.


Mesyuarat MPN ini juga turut membincangkan mengenai pemantauan projek-projek pelaburan khususnya menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan.


Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama tahun 2023 adalah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 59.7% ketimbang S1 2022 (RM44.7 bilion), merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan.


Insha Allah, MPN dijadualkan bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun agar setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.


Kerajaan komited untuk memastikan setiap pelaburan yang diluluskan akan dilaksanakan, dan seterusnya memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.


#MalaysiaMADANI