Rakaman video, audio suara Abdul Hadi antara dikemukakan



Rakaman video yang memaparkan seorang lelaki meminta seorang pengundi bersumpah mengundi Pas antara yang dikemukakan pihak pempetisyen ketika perbicaraan Petisyen Pilihan Raya bagi Parlimen Marang di Mahkamah Pilihan Raya, di Kuala Terengganu pada Ahad. Selain itu, pihak pempetisyen, Jasmira Othman yang diwakili peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun turut mengemukakan rakaman audio suara Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menghadiri satu program Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional (PN) di Ladang Alam Warisan Kampung Tengah Seri Menanti Negeri Sembilan pada21 Januari lalu. Rakaman berkenaan adalah jawapan yang diberikan Abdul Hadi ketika ditanya wartawan mengenai petisyen yang difailkan Badan Perhubungan Umno Terengganu untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umumke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu. Ketika ditanya sama ada beliau mengenali lelaki yang berada di dalam video berkenaan, Nordin Abd Jalil, Abdul Hadi yang juga saksi ketiga pembicaraan bagi pihak responden memaklumkan mengenali Nordin secara umum kerana beliau adalah seorang ahli biasa PAS dan tinggal di dalam kawasan Parlimen Marang. Beliau memaklumkan hanya mengetahui Nordin adalah ahli jawatankuasa (AJK) Pas kawasan Marang selepas ditunjukkan minit mesyuarat agung bagi kawasan berkenaan.


No comments: