Nasib baik jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO berjaya dielakkan daripada berlaku pertandingan, maka dapatlah Zahid Hamidi sembang kencang berkenaan pemilihan kali ini.
Kata Presiden UMNO itu, jumlah calon yang ramai menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan UMNO 2023 kali ini adalah bukti demokrasi semakin menyubur dalam parti itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini menunjukkan mereka melihat bahawa UMNO
mempunyai masa hadapan untuk menterjemahkan potensi itu.
“Bila ramai orang berminat untuk bertanding jawatan-jawatan dalam pemilihan kali ini ia jelas membuktikan demokrasi itu semakin subur dalam UMNO.
“Berbanding pada tahun 2018 apabila pertama kali UMNO dan BN kalah ketika itu, seolah-olah mereka kurang berminat malah ada pemegang jawatan tidak mahu mempertahankan jawatannya tetapi kini berminat semula untuk memegang jawatan,” katanya lagi.
Sembang kencangnya ini hanya terlahir setelah beliau berjaya memastikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, malah kemudian memecat dan menggantung calon-calon yang berpotensi mencabarnya.
Kalaulah ada pertandingan, pastilah ketika Zahid Hamidi lebih sibuk berkempen bagi mempertahankan jawatannya.
Pastilah juga, dalam kesibukan berkempen itu beliau tiada masa untuk mengatakan demokrasi semakin subur dalam UMNO.
Ini kerana, jika ada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, dengan sendirinya lebih ramai lagi yang akan bertanding di semua jawatan dan dengan itu, kesuburan demokrasi dalam UMNO lebih bertambah-tambah lagi.
Tak payah cakap demokrasi makin subur pun orang dah tahu demokrasi dalam UMNO tidak pernah luntur.
Tetapi, apabila demokrasi cuba dimatikan, terpaksalah pula Presiden sendirinya akhirhya “angkat bakul” mendakwa demokrasi dalam UMNO makin subur.
Hakikatnya, ramai yang senyum-senyum saja dengan kenyataan Zahid Hamidi kali ini.
Dah menang tak bertanding, bolehlah sembang kata demokrasi makin subur.
Agaknya kalau ada pertandingan, beliau ketika ini tentu lebih sibuk mencerca buruknya demokrasi, antaranya menyebabkan perpecahan, berpuak-puak dan sebagainya, walhal yang sangat-sangat dirisaukannya ialah jawatannya itu akan terkubur.
Siapa yang yakin Zahid Hamidi boleh mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO jika ada pertandingan? ShahbudinHusin 27/02/2023.