JANGAN LUPA PANGGE SAMA NUSI- DIA RAJIN BERCAKAP PASAL NI.

 

SPRM panggil 6 pihak berhubung kecurian unsur nadir bumi

Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap berkata, hasil siasatan awal masih belum dapat dimaklumkan lagi.

Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka yang dipanggil itu kerana siasatan sedang dijalankan. (Gambar Facebook)

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil enam pihak bagi membantu siasatan berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Pengarah SPRM Kedah Shaharom Nizam Abd Manap bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka yang dipanggil itu kerana siasatan sedang dijalankan.

“Ketika maklumat diterima berhubung kes itu, SPRM memang telah memulakan siasatan awal terlebih dahulu. SPRM telah membuat tindakan awal dengan menjalankan temu bual bersama lima hingga enam pihak bagi membantu siasatan berhubung REE ini.

“Buat masa ini, hasilnya masih belum dapat dimaklumkan lagi dan tiada keputusan atau cadangan yang boleh diberikan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan kes kecurian REE di hutan simpan itu.

Beliau berkata Jawatankuasa Pemantauan REE Negeri Kedah juga telah mengadakan satu mesyuarat pada minggu lalu bagi membincangkan perkara berkaitan REE dan maklum balas daripada setiap agensi yang mungkin terlibat dalam urusan itu akan diperoleh pada 20 Feb depan.

“Apabila timbul isu REE ini, SPRM telah mencadangkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk mengaktifkan jawatankuasa itu bersama Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (Jitu) dengan memanggil pihak agensi yang berkenaan untuk tindakan dan perbincangan.

“Antara agensi yang telah dikenal pasti itu adalah Jabatan Hutan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar, Syarikat Air Darul Aman (Sada) dan mungkin akan ada beberapa tambahan agensi lain lagi selepas ini,” katanya.

Shaharom Nizam juga berkata SPRM tidak dapat mendedahkan sebarang maklumat berkaitan siasatan yang dijalankan sehingga ia diputuskan di mahkamah kelak.

Baru-baru ini, media melaporkan 52 individu ditahan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah selepas mereka dipercayai melakukan kegiatan penerokaan REE secara haram di hutan simpan itu.

Dalam perkembangan lain, Shaharom Nizam berkata pihaknya tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam siasatan kes dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang ExcoKedah sebelum ini.

“Tiada unsur jenayah dalam kes ini dan ia lebih kepada soal pematuhan prosedur berkaitan penyampaian dana bantuan berkenaan. Kami telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk melakukan penambahbaikan dalam prosedur berkenaan. Siasatan berkaitan kes itu telah selesai,” katanya.

Terdahulu Shaharom Nizam ditemui pada majlis persaraannya yang akan bersara wajib mulai esok. Beliau yang menyertai SPRM pada tahun 1992 akan bersara setelah lebih 30 tahun berkhidmat.

No comments: