BERSATU AMBIL DANA KONTRAKTOR, MUHYIDDIN AKAN DIPANGGIL SPRM

 

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian siasatan ke atas dana parti itu, lapor New Straits Times.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, bekas perdana menteri itu akan memberi keterangan berhubung RM300 juta yang didakwa diterima Bersatu sebagai dana politik daripada kontraktor diberikan projek ketika pentadbirannya.

Menurut sumber itu, dua akaun bank Bersatu dengan baki keseluruhan RM40 juta dibekukan SPRM dan beberapa pemimpin Bersatu, termasuk bendahari agungnya sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Katanya, hampir semua penderma yang menyumbang ke akaun parti itu adalah kontraktor yang diberikan kontrak kerajaan ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pada 1 Feb lalu berkata, akaun Bersatu dibekukan agensi itu bulan lalu.

Difahamkan, akaun itu dibekukan berhubung siasatan penyelewengan dana berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.

Muhyiddin sebelum ini menafikan kerajaan pimpinannya menyeleweng RM92.5 bilion dan beliau yakin SPRM akan membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.

Beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan terhadap Bersatu itu “direka” kerajaan supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap parti itu dan melemahkannya menjelang pilihan raya di enam negeri tahun ini.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/02/14/sprm-akan-panggil-muhyiddin-berkait-dana-bersatu-menurut-laporan/

No comments: