Ingatan Buat Razman : Pas jangan tabur fitnah melampau atau makan saman - Amanah Perak

 

Calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 tidak sepatutnya menabur fitnah sesuka hati untuk mendapatkan undi sehingga memecah belahkan perpaduan kaum.


Pengerusi AMANAH Negeri Perak, Datuk Asmuni Awi kesal dengan sikap calon PN - Pas N.11 Gunong Semanggol, Razman Zakaria yang sejak semalam tular klip video beliau memfitnah keberadaan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) yang didakwa merugikan kaum Melayu.


Asmuni yang juga seorang peguam mahu pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat dan mengambil tindakan ke atas Razman di atas ucapan beliau yang menyalahi akta suruhanjaya itu dalam berkempen.


"Saya amat kesal dengan video yang sedang tular ucapan berbaur fitnah daripada calon Perikatan Nasional Gunong Semanggol, Haji Razman Zakaria yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Perak.

Ucapan Razman berbaur fitnah

"Pihak kami meminta SPR dan Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat serta meneliti ucapan Haji Razman yang mencemar perjalanan PRU15 kali ini," katanya dalam satu kenyataan.


Asmuni sebagai penyandang kerusi DUN Manjoi mahu kempen berbaur fitnah dihentikan segera kerana agama Islam cukup melarang umatnya melakukan dosa fitnah apatah lagi daripada sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam sebagai cara hidup


"Sepatutnya beliau fokus mengenai isu-isu rakyat seperti ekonomi, harga barang, kemiskinan dan sebagainya dalam kempen-kempen terhadap para pengundi dan bukannya fitnah serta adu domba.


"Justeru, saya mengajak seluruh rakyat menolak calon-calon yang mengamalkan politik fitnah dan kebencian, kerana ianya tidak membawa apa-apa manfaat dan kebaikan pun kepada rakyat dan negara," katanya.


Sejak semalam bererdar klip video Razman berucap di pasar yang antara lain mendakwa DAP komunis dan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar mempunyai agenda liberal yang merosakkan orang Melayu.

No comments: