Cuepacs cadang cuti umum khas 18 Nov untuk rakyat balik undi

 


Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata ia wajar diberikan memandangkan
 ramai rakyat tidak mengundi di lokasi mereka bekerja. (Gambar
 Bernama)

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti umum khas untuk memudahkan pergerakan rakyat ke lokasi mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 Nov.

Presidennya Adnan Mat berkata walaupun tarikh mengundi jatuh pada Sabtu, cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat tidak mengundi di lokasi mereka bekerja.

“Ada dalam kalangan mereka yang perlu melakukan perjalanan lebih daripada empat jam bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

“Begitu juga dengan penduduk Labuan, Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung, jadual penerbangan terhad mungkin menyukarkan mereka pulang pada hari mengundi apatah lagi mereka yang tinggal di pedalaman yang memerlukan perjalanan tambahan serta memakan masa panjang,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata, walaupun setiap pekerja layak mengambil cuti tahunan, Cuepacs bimbang ada majikan yang tidak membenarkan mereka memohon cuti awal untuk pulang ke lokasi mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.


No comments: