Antara Azmin, Amirudin: Pengundi Gombak bijak menilai
Tiga tahun selepas pengkhianatan Azmin Ali terhadap mandat rakyat Gombak, tidak wajar beliau mendabik dada akan menang kembali di parlimen berkenaan menentang calon Pakatan Harapan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Timbalan Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Danish Hairudin, keyakinan Azmin akan menang di Gombak pada malam pengumuman calon Perikatan Nasional mungkin akan hanya menjerat dirinya sendiri.
Katanya, Pengarah Pilihanraya Bersatu itu belumlah terlalu tua untuk nyanyuk, dan sedar diri bahawa beliau bukankah sesiapa sebelum reformasi 1998 dan Azmin sesungguhnya menunggang arus reformasi untuk ke puncak kejayaan.
“Siapa Azmin Ali dipersada politik negara sebelum ini? Jika bukan kerana beliau menunggang agenda reformasi dan nama Saudara Anwar Ibrahim di setiap ceramah terutama di Gombak
“Rakyat Gombak bijak untuk menilai calon yang benar-benar ikhlas, berprinsip dan tidak khianat mandat rakyat. Datuk Seri Amirudin calon PH di Parlimen Gombak juga merupakan Ketua Kerajaan Negeri Selangor yang jauh lebih kompiten mentadbir negeri berbanding Azmin,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Danish lagi, rakyat Gombak melihat sendiri bagaimana Amirudin menjalankan tugas terutama ketika wabak Covid 19 melanda dan beliau berjaya mempertahankan ekonomi Selangor. Pelbagai inisiatif digerakkan untuk membantu rakyat yang putus kewangan dan bekalan makanan.
Sedangkan katanya, ketika Azmin memimpin Selangor, tidak banyak skim bantuan sosial yang dilakukan manakala rizab negeri pula kurang baik.
“Segala kelemahan yang telah ditinggalkan Azmin dibersihkan oleh Amirudin Shari dengan sedaya upaya bagi memastikan sosio ekonomi negeri Selangor terus berdaya tahan serta rakyat terus mendapat perkhidmatan yang terbaik.
“Pengundi di Gombak dapat menilai calon yang benar-benar ikhlas menjaga kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan peribadi,” katanya.
Oleh itu, Danish percaya pengundi Melayu yang diharapkan Azmin untuk mengundi beliau lebih memilih politik nilai setelah 3 penggal Selangor di bawah PH, berbanding politik oportunis Azmin dan PN yang merosakkan masa hadapan negara.
“Sudah pasti, pemimpin Melayu yang khianat kepada amanah akan ditolak sejumlah besar pengundi Melayu di Gombak yang mementingkan nilai manusiawi lebih daripada segalanya.
“Prestasi cemerlang Datuk Seri Amirudin mengemudi Selangor sudah cukup untuk memberi gambaran jelas dan tidak kabur kepada rakyat Gombak mengangkat beliau sebagai Ahli Parlimen Gombak yang baharu.
“Ingatlah wahai Azmin, sejelas mana pencapaianmu namun sekali kamu telah mengkhianati rakyat Gombak, rakyat tidak akan kabur untuk menghukum kamu,” katanya lagi.