Ketika ini ramai pemimpin UMNO dan UMNO bahagian sedang marah dan kecewa kepada pucuk pimpinan parti susulan pengumuman calon pada 1 November lalu.
Kemarahan dan kekecewaan mereka didorong pelbagai sebab, antara yang utama – tak dipilih sebagai calon, nama yang dicadangkan UMNO bahagian tidak diterima sebagai calon, calon yang dinamakan adalah “payung terjun” daripada luar UMNO bahagian atau negeri dan kerusi diserahkan kepada parti komponen BN yang lain.
Oleh kerana UMNO merupakan parti yang bersifat tempatan atau kawasan dan pemimpin parti peringkat bahagian adalah mereka yang biasanya dipilih sebagai calon pilihan raya, meletakkan calon luar memang merupakan perkara yang sukar diterima.
UMNO tidak sama dengan parti lain seperti PKR, Pas atau DAP misalnya di mana mereka amat terbuka dan tiada masalah menerima kehadiran orang luar sebagai calon pilihan raya.
Jika perkara itu berlaku di satu atau dua kawasan, ia mungkin boleh diselesaikan dengan mudah, misalnya dengan pemimpin yang tak terpilih itu dijanjikan lantikan Senator, dipindahkan bertanding di DUN, diberi jawatan dalam GLC atau dihulur kontrak perniagaan yang lumayan.
Namun, dalam PRU15 ini, jumlah yang digugurkan itu bukan saja ramai, bahkan melibatkan mereka yang berjawatan menteri, timbalan menteri dan mengetuai UMNO peringkat negeri.
Begitu juga dengan calon “payung terjun” dan meletakkan orang luar sebagai calon, jumlahnya juga ramai dalam PRU15 kali ini.
Selain itu, ada juga kes di mana kerusi milik UMNO diserahkan kepada parti komponen, walaupun UMNO bahagian sejak bertahun-tahun gigih menambah pengundi dengan harapan itu kekal menjadi milik mereka.
Terdapat juga UMNO bahagian yang menuntut sesuatu kerusi itu diserahkan kepada mereka meletakkan calon berdasarkan perubahan suasana politik sejak 2018 lalu.
Namun, apa yang berlaku, banyak tuntutan itu tidak dilayan oleh pucuk pimpinan parti dan mereka ketika ini sedang menahan marah serta kecewa seolah-olah suara mereka tidak didengari.
Di media sosial, luahan kemarahan dan kekecewaan itu terpapar dalam bentuk gambar, berita dan video yang kini tersebar luas dan menjadi perbualan ramai di seluruh negara.
Persoalannya, apakah yang patut dilakukan oleh orang-orang UMNO yang sedang marah dan kecewa itu?
Satu perkara yang orang-orang harus sedar ialah pucuk pimpinan parti secara jelas dan nyata telah memperdaya mereka dalam hal ini.
Ketika sokongan mereka amat dikehendaki bagi sesuatu perkara, seperti untuk menangguhkan pemilihan, meminda perlembagaan dan menggesa dipercepatkan PRU15, berdegar-degarlah pemimpin atasan mengatakan UMNO ialah sebuah parti akar umbi.
Dan disebabkan apa yang dihajati itu berjaya menjadi kenyataan, mereka kemudiannya secara terbuka memuji ahli akar umbi dan mahu kedudukan UMNO sebagai parti yang ditunjangi oleh akar umbi hendaklah sentiasa dipertahankan.
Buat seketika, kembanglah hati ahli-ahli UMNO bawahan seluruh negara seolah-olah merekalah penentu hala tuju parti.
Malangnya, apabila tiba memilih soal calon pilihanraya, suara akar umbi langsung diketepi dan dibakulsampahkan.
Kenapa tuntutan UMNO bahagian agar calon sedia ada dikekalkan tidak didengari?
Kenapa suara akar umbi yang menyenaraikan calon-calon pilihan untuk dipertimbangkan senang-senang diketepikan, sebaliknya calon yang tidak tersenarai dijadikan pilihan?
Kenapa suara akar umbi yang mahu anal tempatan sebagai calon turut tidak didengari dan calon “payung terjun” daripada negeri berjauhan yang diletakkan?
Begitu juga dengan tuntutan agar sesuatu kerusi itu dikekalkan sebagai milik UMNO atau kerusi yang lain ditukar menjadi milik UMNO berikutan situasi yang dirasakan lebih mudah untuk menang, juga tidak dipedulikan?
Suara akar umbi atau keputusan pimpinan atasan yang mendasari pemilihan calon?
Atas semua kejadian yang membuatkan pemimpin, ahli dan orang UMNO marah serta kecewa itu, dinasihatkan janganlah dibiarkan kemarahan itu berpanjangan sehingga merosakkan jiwa dan kehidupan.
Ambil masa untuk bertenang dan berfikir dengan matang, yang penting jangan dibenarkan calon luar daripada bahagian, calon bukan pilihan bahagian, calon “payung terjun” dan calon parti komponen yang tidak disukai itu menikmati kemenangan.
Sebagai pengajaran, pastikan semua mereka itu kalah dan kecundang supaya dalam PRU seterusnya nanti, kerusi-kerusi itu dapat diambil semula sebagai hak akar umbi yang selama ini berjuang siang dan malam untuk parti.
Kalau calon berkenaan menang, maka teruslah mereka bertanding lagi di situ dan melopong teruslah suara akar umbi untuk mendapat hak mereka yang sewajarnya.
Kalahkan mereka kali ini supaya pimpinan atasan akhirnya sedar suara akar umbi tetap berbisa dalam UMNO. – ShahbudinHusin 04/11/2022.