Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pernah di puncak kerjayanya
sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
Dengan jawatan setinggi itu sesiapa yang akan berkunjung ke kubu
kuatnya di parlimen Bagan Datuk pasti merasakan kaum Melayu di sana telah cukup
dibela oleh parti Ketuanan Melayu.
Namun hakikatnya, kata calon KEADILAN P075 Bagan Datuk, Datuk Seri
Shamsul Iskandar Mohd Akin, keadaan kehidupan nelayan Melayu di kawasan Zahid
jauh lebih buruk daripada rakan senasib di kawasan pembangkang.
"Sepanjang pengamatan saya hampir sebulan berada di Bagan
Datuk, kehidupan orang Melayu di sini boleh disifatkan indah khabar dari rupa.
Amat mendukacitakan, penduduk terutamanya di kawasan kampung majoritinya tidak
tahu mengenai peruntukan RM 3.8 juta setiap tahun untuk kawasan parlimen yang
sepatutnya disalurkan untuk pembangunan infrastruktur dan program rakyat.
"Antara persoalan yang ditimbulkan hari ini, benarkah bantuan
bot nelayan tidak sampai terus kepada nelayan? Sebaliknya dirompak oleh orang
tengah yang bukan nelayan dan kemudian menyewakan bot tersebut kepada nelayan
dengan kadar sewa sehingga RM 200 sehari?
"Sekiranya benar maka ini teramat menyedihkan. Selama ini
saudara Ahmad Zahid Hamidi dan penyokong boleh mendabik dada dengan bantuan
RM300 setiap bulan diberikan kepada nelayan, tetapi apabila ditolak sewa yang
tinggal hanya RM100. Nelayan nak makan apa, dan siapa yang kaya?" tanyanya
dalam satu kenyataan.
Mantan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga tertanya tanya
siapakah sebenarnya yang mengaut keuntungan sehingga nasib nelayan Melayu di
Bagan Datuk sedemikian rupa.
"Siapa sebenarnya mengaut keuntungan atas angin memerah
keringat nelayan yang terpaksa menyewa bot demi mencari sesuap nasi di lautan?
Adakah benar bantuan yang diberi sekadar kosmetik dan kemudian dirompak kembali
kroni ahli politik? Adakah pengurusan Pejabat Ahli Parlimen sebelum ini begitu
culas sehingga penindasan sebegini dahsyat berlaku?
"Datanglah sendiri ke Bagan Datuk, lihat bagaimana daifnya
keadaan jeti nelayan Melayu di sini berbanding jeti nelayan Cina yang serba
lengkap dengan kelengkapan memproses hasil laut," katanya.
Shamsul mahu masyarakat nelayan Bagan Datuk sedar dan berusaha
melakukan perubahan dalam PRU 15.
Katanya, tidak ada guna Zahid terus berkuasa tetapi kehidupan
mereka tidak berubah dan bakal mewariskan kemiskinan kepada generasi akan
datang.
"Saya menolak politik rasis namun apabila nama orang Melayu
dijaja demi sokongan politik tetapi kenyataannya dihina dan ditindas sebegini
rupa, saya tidak mampu berdiam diri. Pengagihan ekonomi perlu berlaku secara
saksama mengikut peratusan rakyat dan bukan hanya tertumpu di sesetengah
kawasan.
"Saudara saudari, tinjaulah keadaan di sekeliling Bagan
Datuk, lihat sendiri keadaan jalan raya yang teruk, bergelap di waktu malam
akibat tiada lampu. Berhati-hati kerana risiko kemalangan tinggi sekiranya
terlanggar lubang atau termasuk ke dalam parit di kiri dan kanan akibat keadaan
jalan yang sempit.
"Bangkitlah seluruh warga Bagan Datuk, 27 tahun dipimpin Ahli
Parlimen yang sama sudah tiba masanya kita menebus maruah dan menghukum ahli
politik yang gagal berkhidmat demi rakyat, sebaliknya hanya mengisi tembolok
sendiri, keluarga dan kroni," katanya lagi.
Untuk rekod, Zahid Hamidi telah dilantik sebagai wakil rakyat
Bagan Datuk sejak 1995. Terlalu lama untuk rakyat menilai dan melihat rekod
beliau sama ada baik atau buruk.