Umno paling kucar kacir dalam 4 dekad, masa ambil alih kerajaan dalam PRU 15




 Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15, satu satunya peristiwa yang tidak pernah dilihat sepanjang 4 dekad lalu ialah kucar kacir dalam parti pemerintah Umno dalam persiapan menghadapi pilihan raya.


Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata demikian dalam ceramah Jelajah Harapan Kedah, malam tadi.


Katanya, sejak beliau menyertai politik pada 1982 belum pernah Umno berhadapan krisis menggugurkan pemimpin yang tidak sebulu dengan presiden parti itu menjelang pilihan raya.


"Kita lihat dari sejarah pilihan raya, sejak 1982 tak pernah lagi Umno hadapi pilihan raya dalam kucar kacir. Kalau kita tak boleh ambil alih kerajaan maka pelik la rakyat Malaysia ni. Orang ke plastik aku tak tahu?


"Umno teruk, mereka berpecah sungguh dan kita akan lihat banyak orang kanan tak lekat calon, berkecamuk. Ada tutup pos. Kita pun ada sikit masalah tetapi sekarang semua dalam PH telah selesai.


"Kita pergi sebagai satu pasukan sekarang ini," katanya.


Mengenai hujah yang amat popular kononnya PH tidak wajar diberi peluang kerana kerajaan 22 bulan lalu tidak berkualiti, Mat Sabu menganggap tohmahan itu tidak sepatutnya terus dimainkan dalam kempen pilihan raya kerana PH tidak pernah diberi kesempatan untuk berkuasa sehingga sepenggal.


"Mereka meratip kegagalan kerajaan 22 bulan. Depa ukur dengan apa? Budak ambil periksa SPM, soalan kena jawab dalam masa satu jam. Tiba tiba baru 20 minit cikgu ambil kertas, cakap gagal. Gagal pala bapak apa, dia baru 20 minit? Kena perabih sejam. Kena perabih 5 tahun baru tengok gagal atau tidak.


"Apa pun dalam 2 tahun kita dapat turunkan indeks rasuah dari nombor 61 kepada 51. Kalau perintah 5 tahun saya yakin kita balik angka 30, ertinya kembali ke zaman Malaysia jadi Tiger of Asia," katanya.


Oleh itu Mat Sabu menggesa penyokong PH sekali lagi bekerja kuat sebagaimana PRU 14 lalu untuk memenangkan PH.


Katanya, kali ini PH mempunyai calon PM yang terbaik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan amat diperlukan oleh rakyat. Cuma, kata beliau, sekiranya Anwar tidak mendapat majoriti maka negara akan kembali berkecamuk dengan pemerintahan BN - PN dan GPS.


"Cara memerintah selepas Sheraton Move tak aman dan sekarang kita syok Datuk Seri Anwar boleh bentang paper di Unesco, bersyarah di Turki. Paling layak jadi PM. Tetapi layak tak layak bergantung 19 November ini. Kalau dapat 112 kerusi tertaballah Datuk Seri Anwar sebagai PM.


"Jadi kita kerja kuat, kita mahu PRU akan datang parlimen Baling PH menang, Pendang BN kalah, Jerai PH menang, Sungai Petani PN dan BN kecundang.


"Dengan cara itu barulah Datuk Seri Anwar akan diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya.