Skandal pembinaan kapal tempur persisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bukan sahaja menyebabkan rakyat kembali mengambil perhatian ke atas kebobrokan Kerajaan BN, tetapi juga telah menyebabkan pertembungan dalam puak puak pimpinan utama dalam Umno
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, pertembuangan tersebut boleh dilihat dalam laporan media arus perdana yang bukan sahaja tidak mempertahankan bekas Menteri yang terlibat skandal, tetapi juga membantu melaporkan serangan pemimpin pembangkang dalam isu skandal berkenaan.
"Saya dedah skandal dah 11 - 12 tahun. Saya perhatikan berbeza kali ini. Selalunya bila saya dedah skandal media cukup takut dedahkan, sebab mereka kena saman, pihak berkuasa datang tangkap.
"Kalau Berita Harian, Utusan memang tak tulis langsung. Tetapi saya perhati dalam sebulan ini.... agak agak media mana yang paling rancak laporan setiap satu perkataan yang saya sebut? Berita Harian, Utusan, NST, The Star.
"Kita bukan baru hidup 2 - 3 hari. Maksudnya itu petanda ada pertembungan besar dalam Umno BN, kerana akhbar dan media arus perdana ikut arahan dan isyarat Putrajaya. Kalau Putrajaya kata jangan pergi dekat, dia tak pergi dekat. Yang ini maknanya Putrajaya kata tolong laporkan setiap perkataan yang Rafizi sebut.
"Saya tengok media lain, media internet dia tak ambil semua. Tetapi saya ucap terima kasih kepada media arus perdana sebab laporan itu memang sebiji 'copy and paste', tak ada padam.
"Ada isyarat dari Putrajaya isu ini tolong lapor habis habisan kerana Menteri yang ada kuasa tahu isu ini balik kepada 2 - 3 orang itu juga.
"Berlegar sekitar Najib, Zahid, Hishamuddin pun kena bertepis juga," katanya dalam ceramah ulung trak Ayuh Malaysia, malam tadi.
Sebelum itu, Rafizi mengecam Najib dan Zahid yang cuba untuk cuci tangan daripada skandal berkenaan.
Katanya, kedua dua watak itu perlu bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku kerana mereka adalah pemain utama peranan ketika skandal terjadi sebagai Menteri menandatangai kontrak dan arahan kerja.
"Menteri yang terlibat dalam soal kapal ini pertama sudah tentu PM Facebook kita, Najib Razak. Dia tak boleh lari atas dua kapasiti. Dia Menteri Kewangan, bila bersabit dengan perolehan kerajaan dia kena pergi ke Perbendaharaan. Dia tak boleh cuci tangan.
"Menteri Pertahanan pula masa projek diluluskan, surat lantikan dibuat dan ambil masa setahun kontrak dimuktamadkan.
"Yang bagi surat lantikan Zahid, surat keluar ada tandatangan dia. Zahid tak boleh lari dan yang tandatangan kontrak sudah tentu Hisahmuddin.
"Jadi kem Umno sekarang jem kerana benda ini tidak boleh dihentikan. Terus keluar. Mana mana pun akan melibatkan orang tanya, habis kamu Menteri kamu buat apa," katanya.
Oleh itu, Rafizi berkata, kem kem dalam Umno semakin berebut untuk menguasai tampuk kekuasaan parti. Malah katanya untuk menentukan calon PM yang benar benar akan menjadi PM selepas pilihan raya pun Umno tidak mampu. '
Ujar Rafizi, hanya penyokong Umno bawahan sahaja yang tidak malu terus membuat propaganda konon jika Umno BN menang negara akan stabil.