Pihak ugut hakim perlu diambil tindakan undang undang
Serangan berterusan laskar siber pro Umno yang mempertahankan bekas Perdana Menteri Najib Razak ‘tidak bersalah’ sejak beberapa hari lalu sudah sampai ke tahap menggugat institusi kehakiman negara dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Bagi Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Kamil Munim, percubaan Najib untuk meraih simpati dan mewujudkan persepsi berbeza mengenai kesnya tidak boleh sehingga menyerang integriti para hakim.
“Sejak semalam, beberapa serangan telah dilakukan oleh tentera siber upahan untuk terus menyerang Ketua Hakim dan institusi kehakiman.
“Ianya bukan sekadar kritikan biasa namun disulami dengan ugutan yang jelas memerlukan campur tangan pihak berkuasa bagi melindungi keselamatan Ketua Hakim dan institusi kehakiman itu sendiri.
“Sandiwara Najib tidak wajar dijadikan modal bagi penyokong beliau untuk terus menyerang institusi kehakiman,” kata Kamil dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama tidak pernah dinafikan sama sekali.
Namun, katanya, tindakan penyokong Najib yang melampaui batas amat dikesali dan boleh memusnahkan kepercayaan awam terhadap institusi kehakiman.
“Percubaan untuk mengheret semua pihak termasuk mahkamah dan sistem keadilan untuk mengikut rentak dan kehendak pihak tertentu adalah sesuatu yang melampau, dan tidak menghormati sistem keadilan dan institusi kehakiman.
“Justeru, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera ke atas mana-mana individu yang secara nyata membuat ugutan terhadap Ketua Hakim atau institusi kehakiman,” katanya lagi.