Skandal besar sekarang kerana rakyat benarkan Umno BN menang PRU 2013

 



Kegagalan rakyat untuk menyekat pemerintahan Umno BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 menyebabkan rakyat membayar mahal hutang skandal 1MDB dan kapal LCS sekarang ini.


Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, hutang PTPTN sepatutnya boleh dibayar sekiranya Pakatan menang pada 2013 lalu tetapi tiada apa boleh dibuat apabila jumlahnya jauh lebih tinggi pada 2018 apabila Pakatan Harapan ambil alih Putrajaya.


Hal itu katanya perlu diambil pengajaran menjelang satu lagi PRU dalam beberapa bulan akan datang.


"Sebab itu yang penting dalam 2 - 3 bulan dari sekarang kita perlu yakinkan rakyat kita boleh menjadi kerajaan lebih baik. Sebab yang berlaku hari ini bukan benda baharu.


"Orang kata kenapa kapal ini berlaku 2011 baru sekarang nak korek? Sebab itu kita kena tukar kerajaan, kerana rasuah itu kita hanya tahu lepas 10 tahun.


"Dulu orang tanya saya kenapa tak hapuskan PTPTN? Saya kira 2011, masa itu hutang PTPTN 20 bilion. Saya beritahu kalau RM20 bilion kita peruntukkan RM2 bilion setahun kita boleh hapuskan PTPTN.


"Kita boleh mula lancar pendidikan percuma. Tetapi sebab tak menang 2013, menjelang 2018 bila kita ambil alih kita tengok angka hutang RM40 bilion. Tak boleh dah


"Peluang kita untuk selesaikan masalah hutang anak anak terlepas begitu sahaja kerana 2013 masih banyak macai undi Umno.


"Kalau 2013 kita menang. Soal kapal LCS tak lah sampai RM6 bilion satu kapal pun tak siap. 1MDB tak ada sampai hutang RM50 bilion," katanya.


Justeru, Rafizi memberi amaran sekiranya Umno BN dimenangkan lagi dalam PRU 15 maka 5 tahun selepas itu rakyat akan mendapat skandal berpuluh puluh bilion lagi yang tidak akan mampu ditanggung oleh kewangan negara.


Oleh itu, Rafizi berkata, berbaloi untuk rakyat melakukan perubahan sekali lagi dalam PRU kali ini untuk mengelakkan Malaysia menghadapi masalah kewangan yang tiada harapan diatasi 5 tahun ke hadapan.


"Kalau kita bagi Umno BN menang lagi dalam keadaan rakyat tahu parti ini parti sakau. Kalau kita menang PRU 16, kita bukan jumpa masalah sakau, kita jumpa segala macam, kapal hilang, cerita kereta, entah apa apa.


"Kalau kita bising peruntukan RM6 bilion hilang maka kalau BN perintah lagi maka kita akan jumpa RM20 - RM30 bilion, apa lagi mereka nak buat.


"Sebab itu kita ada peluang (PRU 15) cuba sekali lagi. Ini usaha kita," katanya lagi.