Berikutan terdedahnya apa yang didakwa sebagai perjanjian politik antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin, mereka yang pro kluster mahkamah lantas berhujah, perkara itu sepatutnya dimaklumkan kepada MT UMNO.
Kata mereka, kalau pun ia tidak diberitahu kepada MT UMNO sebelum perjanjian ditandatangani, pemakluman masih boleh dibuat selepasnya.
“Tetapi, kenapa Ismail Sabri tidak pernah memberitahu apa-apa mengenai perjanjian itu kepada MT UMNO?
“Kalau diberitahu, setidak-tidaknya ia dapat dipertahankan secara bersama,” tambah mereka lagi.
Bagi yang tidak berapa sedar, harus diingat bahawa perjanjian itu, jika pun benar-benar wujud, adalah antara Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dengan Mahiadddin selaku bekas Perdana Menteri.
Atas kapasiti itu, Ismail Sabri berhak terlibat dalam apa juga perjanjian demi untuk kestabilan politik dan juga bagi memudahkannya menjalankan tanggungjawab kepada negara.
Ia boleh dikata hampir sama dengan MOU yang ditandatangani dengan PH yang mana kedua-duanya tidak melibatkan UMNO.
Namun disebabkan kepentingan yang berbeza, pimpinan UMNO akhirnya sanggup membuat keputusan membatalkan MOU dengan PH itu, walaupun mereka tidak berhak pun berbuat demikian.
Jadi, apa masalahnya jika tidak dimaklumkan kepada UMNO?
Yang penting sebenarnya, bukan sama ada MT dimaklumkan atau tidak, tetapi kenapa UMNO tidak mahu memberi sokongan, baik kepada MOU atau perjanjian politik tersebut?
Bukankah ia melibatkan Perdana Menteri daripada UMNO sendiri dan khusus untuk kestabilan politik kerajaan?
Lagi pula, apakah semua perkara yang dilakukan oleh Perdana Menteri mesti dimaklumkan kepada MT UMNO?
Jangan kita lupa, apakah Najib Razak pernah memaklumkan kepada MT UMNO sebelum beliau mahu menubuhkan dan semua hal berkaitan 1MDB yang akhirnya menjadi skandal besar dan menyebabkan negara menanggung hutang akibat daripadanya?
Begitu juga dengan Zahid Hamidi ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, sebagaimana dilaporkan dalam perbicaraan berkaitan kes visa luar negara di mana sumbangan wang berjuta-juta diterima beliau konon untuk dana politik parti, pernahkah ia dimaklumkan kepada MT UMNO?
Tambahan lagi, baik MOU atau perjanjian politik yang dilakukan oleh Ismail Sabri itu semuanya adalah jelas bermotif kebaikan dan untuk kestabilan semata-mata, jauh sekali terkait dengan apa-apa yang melibatkan wang atau bagi kepentingan peribadinya.
Lainlah dengan 1MDB atau menerima dana politik misalnya, kalau dahulunya dimaklumkan kepada MT UMNO, mungkin apa yang telah terjadi hari ini dan menjadi tatapan rakyat Malaysia boleh dielakkan serta tidak menjadi beban yang berpanjangan kepada parti. – ShahbudinHusin 14/06/2022.