Otai Reformis seru KEADILAN kembali berpadu usai kongres
Pemilihan KEADILAN 2022 akan selesai sehari lagi apabila perwakilan dari setiap cabang memilih ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi sesi 2022 – 2025.
Bagaimanapun terdapat ramalan pemerhati politik bahawa perbezaan idea dan strategi yang meruncing antara tokoh tokoh utama dalam parti sepanjang kempen akan mengambil masa untuk diselesaikan.
Sehubungan itu, NGO pendukung gerakan Reformasi, Otai Reformis 1998 menyeru para pemimpin dan anggota KEADILAN yang berlainan kem agar kembali bersatu dan fokus kepada perjuangan menumbangkan Kerajaan BN – PN usai Kongres Nasional KEADILAN kali ke 16 ini.
Timbalan Presiden Otai, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa yang juga calon MPP nombor 12 berkata, perjuangan menentang BN dan PN jauh lebih sengit pada Pilihan Raya Umum ke 15 ini berbanding mana mana PRU sebelumnya, dan barisan saf pejuang yang berpadu sahaja yang akan memenangi pertempuran.
“Perbezaan pandangan dan strategi sepatutnya tidak jadi penghalang untuk kita memantapkan barisan.
“Seruan dari Otai, kami berharap seluruh pimpinan dan akar umbi bersama sama berpegang kembali kepada prinsip perjuangan yang sama sama kita dukung sejak 1998, iaitu perjuangan keadilan untuk semua,” katanya.
Menurut Mustapa, seusai kongres setiap anggota KEADILAN seharusnya menanamkan semangat untuk menentang musuh bersama dan membuang jauh jauh perasaan untuk bertelagah sesama sendiri.
“Hentikanlah pertikaman di dalam, fokus kita mesti kepada memperkukuhkan barisan dalaman untuk menyerang musuh. Itu kerja utama kita, bukan bertelagah sesama anggota,” katanya lagi.
Otai Reformis 1998 menghantar dua wakil kali ini, Mustapa Mansor dan A Razak Ismail untuk bersaing merebut tempat dalam MPP. Agenda mereka adalah untuk memperkukuh perjuangan Reformasi dalam kalangan anggota KEADILAN.