AMARAN BUAT KARTEL : Keadilan mahu jadi parti terkuat, terbesar selepas PRU15 - Saifuddin Nasution

 

Firdaus Azil
Keadilan mahu jadi parti terkuat, terbesar selepas PRU15 - Saifuddin Nasution
Saifuddin berkata, PKR bercadang untuk menambah bilangan kerusi Parlimen dan DUN yang akan ditandingi pada pilihan raya umum seterusnya. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan untuk bertanding di semua kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum yang lepas, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Abdullah.
Sewaktu berucap merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan di Shah Alam hari ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata, perkara itu telah diputuskan pimpinan parti sewaktu sesi rapat umum beberapa bulan lepas.
Selain itu, Saifuddin berkata, PKR juga bercadang untuk menambah bilangan kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya umum seterusnya, bagi memastikan parti itu menjadi terbesar dan terkuat dalam Pakatan Harapan.
“Temu rapat itu juga bersetuju untuk Keadilan bertanding semula di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang kita menang pada PRU 2018. Semua kerusi kita menang kita masuk bertanding balik.
“Temu rapat itu juga buat keputusan, jika mendapat persetujuan dengan parti parti sahabat dalam Pakatan Harapan, kita nak tambah lagi kerusi untuk Keadilan tandingi, dengan harapan kita muncul sebagai parti terbesar dan terkuat,” katanya lagi.
Kongres AMK, yang dilakukan serentak dengan Kongres Wanita Keadilan kali ini, menyaksikan perwakilan bakal memilih 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat untuk setiap sayap berkenaan.
Saifuddin selanjutnya berkata, PKR akan memasuki PRU ke-15 dengan matlamat menang dan memerintah, dan jika berjaya mendapat mandat rakyat, calon Perdana Menteri mereka kekal Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Saifuddin, yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, negara kini di ambang pelbagai masalah, sehingga menggugat pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Atas sebab itu, beliau berkata, PKR ingin menawarkan beberapa penyelesaian dalam menangani isu negara, untuk dijadikan pertimbangan bagi rakyat yang akan memilih sewaktu PRU akan datang.
“Pertama, membanteras rasuah. Tawaran kita kepada rakyat Malaysia, kalau nak ubah kedudukan negara, kita kena ubati penyakit nombor satu, iaitu rasuah dalam negara yang tahapnya seperti endemik.
“Keadilan kena tampil dengan tekad dan tawaran yagn meyakinkan rakyat, kebetulan tema kongres – Bina Keyakinan Rakyat. Kita kena tunjuk bahawa kita ini benci dan tak mahu langsung rasuah,” katanya lagi.
Perkara kedua, kata Saifuddin, ialah menstruktur semula ekonomi bagi kemakmuran bersama, dan tidak lagi terlampau memberi fokus kepada syarikat gergasi, sepertimana amalan ketika ini.
“Era ekonomi negara untuk meniru Jepun, tiru Korea, tiru kuasa besar ekonomi seharusnya dah sampai masa untuk diteliti. Kita perlu menstruktur semula ekonomi negara yang mengutamakan syarikat besar, saudagar besar, kartel dan sebagainya.
“Sudah sampai masa untuk kita utamakan industri kecil dan sederhana. Data Malaysia mencatatkan jumlajh IKS berdaftar setakat 2020, jumlahnya mencecah 1.151 juta, bersamaan 97 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan yang didaftarkan,” kata Saifuddin.
Beliau berkata, ketika ini hanya tiga peratus syarikat besar, tetapi kumpulan itu lah yang dilihat sering mendominasi perolehan kerajaan, termasuk tender dan kontrak.
Perkara terakhir, kata Saifuddin, ialah keperluan untuk meluaskan jaringan keselamatan sosial rakyat negara ini.
Kita harus mengangkat angkat idea, bahawa jurang kualiti perkhidmatan harus didekatkan. Hospital, klinik, sekolah, jalur lebar, pengangkutan, di Padang Terap, di Hulu Rajang, Lahad Datu, tidak sepatutnya berbeza dengan Damansara, Ipoh, Johor Bahru, dan Petaling Jaya.
“Sekolah di Lahad Datu mesti kemudahannya setanding sekolah Damansara. Pengangkutan di Sibuti mesti setanding dengan seremeban, Tak perlu kita nak obses dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) tetapi agihan mengikut wilayah terus berat sebelah,” tegasnya lagi.

No comments: