Siasat segera punca bencana banjir Baling
Kerajaan Pas Kedah perlu menyegerakan siasatan ke atas pihak yang menyebabkan berlakunya tragedi banjir kepala air di kampung Ibol, Kupang, Baling baru baru ini, bukan sekadar mengumumkan punca berlakunya banjir.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Adam Adli Abdul Halim berkata, siasatan perlu dilakukan dengan selengkap mungkin kerana pada 2020 Kerajaan Negeri pernah keluarkan arahan menghentikan projek penanaman durian Musang King di hutan Gunung Inas, Baling.
Bagaimanapun, penduduk mendakwa projek ladang durian itu berjalan seperti biasa dan hal itu seolah olah menunjukkan pihak Kerajaan Negeri tidak memantau serta kurang menguatkuasakan arahan.
“(Dalam hal ini) saya anggap sebagai (kecuaian) pentadbiran kalau telah ada aduan. Sebelum ini dikatakan ada keputusan untuk membekukan projek tersebut yang nampak ada impak ketara kepada alam sekitar.
“Patutnya ada sense of urgency untuk ambil tindakan dan tidak boleh lepas batuk di tangga. Kena pastikan isu itu diselesaikan.
“Sekarang sudah sampai ke tahap memberi kesan besar dan meragut nyawa. Itu yang sepatutnya pentadbiran Kedah di bawah MB Sanusi bertanggungjawab dan setiap yang terlibat harus disiasat,” katanya.
Menurut Adam lagi, siasatan penuh amat penting untuk mengetahui bukan sahaja pihak yang ingkar arahan, tidak mematuhi syarat peladangan dan sebagainya, tetapi juga sama ada Kerajaan Negeri sendiri cuai dalam mentadbir.
Sekiranya Kerajaan Negeri cuai, kata Adam, maka rakyat tidak wajar memberi kepercayaan sekali lagi kepada Pas untuk menerajui Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke 15.
“Jadi di sudut politiknya (jika cuai) inilah bukti atau kenyataan yang perlu diteliti oleh masyaralat atau rakyat.
“Inilah bentuk pentadbiran yang tidak efisien, sambil lewa dan tidak mengambil berat, juga tidak serius dalam mencegah perkara perkara yang berkaitan alam sekitar yang menjejaskan rakyat,” katanya lagi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sedang menunggu laporan dan hasil siasatan daripada pelbagai jabatan teknikal berhubung kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di daerah Baling pada 4 Julai lalu.
Sementara itu, pesatuan alam sekitar mahukan laporan penuh termasuk siasatan dan tindakan diambil kepada pihak yang menggondolkan alam sekitar.
Kata mereka, mendedahkan punca kejadian tanpa tindakan tidak akan menghalang berlakunya sekali lagi bencana kepala air di Kupang, Baling atau di Gunung Jerai, Yan pada September 2021.