ADA MOU DAN PERJANJIAN, BERMAKNA DESAKAN KLUSTER MAHKAMAH AGAR PRU15 DIAWALKAN HANYA KERJA SIA-SIA

 

Sehingga ini belum ada mana-mana pihak tampil menafikan kesahihan salinan perjanjian politik antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan Mahiaddin Md Yasin yang telah tersebar luas di media sosial atau menyifatkannya sebagai palsu.

Baik Ismail Sabri atau Mahiaddin yang didakwa menandatangani dokumen itu atau Hamzah Zainuddin dan Annuar Musa yang disebut sebagai saksi hidup perjanjian itu, semuanya tidak memberi apa-apa reaksi setakat ini.

Walhal, kesemua mereka mempunyai platform media sosial masing-masing dan jika benar ia adalah dokumen palsu atau rekaan, tidak sampai lima minit pun untuk mereka memaklumkan mengenainya bagi pengetahuan seluruh rakyat Malaysia.

Tetapi, kenapa tiada seorang pun daripada tampil berbuat demikian?

Yang ada berhujah dengan mengatakan ia adalah palsu hanyalah pihak yang tiada kredebiliti serta mereka yang sudah terpinggir.

Dengan itu, sehingga tiada sebarang penafian rasmi daripada mana-mana pihak yang berwibawa, salinan yang tersebar itu boleh saja dianggap benar, tulen dan sahih.

Tambahan pula, berdasarkan kenyataan-kenyataan mereka yang mengetahui mengenai perjanjian itu sebelum itu seperti Mahiaddin sendiri, pegawai beliau, Marzuki Mohamed dan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, terlihat ada persamaan antara maklumat yang mereka dedahkan dengan butiran dalam perjanjian tersebut.

Lebih-lebih lagi, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang disebut oleh Mahiaddin sebagai orang yang bertanggungjawab mendraf perjanjian tersebut juga berkata, apa yang ditandatangani antara Ismail Sabri dengan Presiden Bersatu itu bukanlah perjanjian, tetapi merupakan memorandum perjanjian.

Takiyuddin bagaimanapun tidak menyebut secara jelas sama ada salinan perjanjian yang tersebar luas itu adalah palsu atau sebaliknya.

Soalnya, apakah salah, terutama bagi Perdana Menteri mempunyai perjanjian politik?

Jawabnya, tidak salah dan ia boleh dianggap perkara biasa demi manfaat politik, kestabilan dan juga untuk kepentingan negara.

Tanpanya, negara mungkin terdedah sekali lagi kepada pertukaran kerajaan dan jatuh-menjatuhkan Perdana Menteri.

Dalam keadaan sekarang, ia bermakna Ismail Sabri ketika ini mempunyai dua dokumen perjanjian – satu, MOU dengan PH dan kedua, perjanjian politik dengan Mahiaddin.

Dengan dua perjanjian tersebut, Ismail Sabri bukan saja boleh dikata stabil untuk mengekalkan kuasanya sehingga tempoh akhir penggal Parlimen iaitu Julai 2023, ia juga bererti sebarang desakan untuk memaksanya mengadakan PRU15 lebih awal adalah suatu kerja sia-sia saja.

Dengan itu, lebih baik kluster mahkamah UMNO berhenti saja daripada terus menekan serta mendesak Perdana Menteri untuk mengawalkan PRU15.

Desakan atau tekanan tidak mampu mengatasi kemampanan MOU dan perjanjian politik yang telah ditandatangani.

Yang mana ada kes mahkamah, tumpukan saja kepada perkara itu, manakala yang lain pula lebih baik menggunakan masa yang ada untuk lebih menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.

Kerajaan sedia ada ini terlihat mampu bertahan lebih lama kerana semua yang terlibat dengan MOU atau perjanjian itu lebih sedia berdepan PRU15 pada tahun depan, bukan tahun ini. – ShahbudinHusin 13/06/2022.


No comments: