SIAPA DUA PEMIMPIN MUSIBAT PKR BERTEMU AZMIN, ADAKAH ANWAR TAHU PERTEMUAN ITU?


 Dilaporkan media semalam  bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali telah mengadakan pertemuan sulit dengan dua pemimpin PKR.

Pertemuan itu didakwa berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada Rabu 15 Jun lalu iaitu tempat di mana berlakunya gerakan politik “Langkah Sheraton” yang menjatuhkan kerajaan PH pada 2020 lalu.

Ia berlangsung selama satu jam, kata satu sumber mengenai pertemuan tersebut sebagaimana didedahkan oleh sebuah portal berita.

Pertemuan Azmin dengan dua pemimpin PKR itu berlangsung di tengah-tengah pelbagai spekulasi tentang kedudukan dan masa depan bekas Timbalan Presiden PKR tersebut dalam Bersatu.

Spekulasi mengenai Azmin tambah hangat berikutan sekutunya selama ini, Zuraida Kamaruddin telah mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia atau PBM.

Azmin bagaimanapun dalam kenyataan terbarunya menyatakan komitmennya untuk kekal dalam Bersatu yang dipimpin oleh Mahiaddin Md Yasin.

Sehingga ini tidak dapat dipastikan apakah tujuan Azmin mengadakan pertemuan dengan dua pemimpin PKR itu.

Apakah ia untuk membuka laluan bagi Ahli Parlimen Gombak itu kembali bersama PKR?

Atau adakah pertemuan itu dengan tujuan agar Bersatu dan PKR dapat saling bekerjasama dalam PRU15 akan datang yang sifir politik paling mudah difahami di sebaliknya ialah agar Azmin mampu mengekalkan lagi kerusi Parlimen Gombak yang dipegangnya sekarang?

Namun di peringkat awal ini, sementara tujuan sebenar pertemuan itu kekal misteri, yang paling ingin diketahui ialah siapakah dua pemimpin PKR yang bertemu dengan Azmin itu?

Atas restu siapa mereka bertemu dengan Azmin atau ia hanya pandai-pandai dua pemimpin itu saja?

Adakah PKR, khususnya Anwar Ibrahim selaku Presiden parti tahu tentang pertemuan tersebut?

Atau adakah selepas pertemuan dengan Azmin itu, kedua-dua pemimpin PKR tersebut ada memberi sebarang laporan kepada Anwar?

Ataukah mereka senyap begitu saja sehingga sekarang?

Begitu pun, oleh kerana Azmin adalah dianggap pengkhianat nombor wahid di mata ahli-ahli PKR yang bukan saja tindakannya telah menumbangkan kerajaan PH, malah paling keras menolak Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad, bekerjasama dalam apa bentuk sekali pun dengan beliau boleh dikata ditolak sepenuhnya.

Jauh lebih ditolak ialah sebarang usaha untuk membawanya kembali menyertai PKR semula.

Ahli-ahli PKR lebih mahu melihat karier politik Azmin berakhir dengan kekalahan di Gombak dalam PRU15 akan datang, seterusnya nyawa politiknya juga akan “tutup suis” sekali berbanding menjalin sebarang kerjasama dengannya.

Untuk itu, dua pemimpin PKR yang bertemu dengan Azmin itu bukan saja ingin benar diketahui siapa identitinya, bahkan ada yang tidak sabar mahu melabelnya pengkhianat juga.

Azmin sudah mengkhianati kita, kalau sesiapa mahu memberi nyawa kepadanya, maka orang itu adalah sama-sama pengkhianat, kata seorang ahli PKR dengan agak marah.

Apa kata dalam hal ini, dua pemimpin PKR itu segera tampil dan membuat penjelasan sebenar tentang pertemuan dengan Azmin itu sebelum nama mereka akhirnya terdedah dengan sendirinya.

Berani buat, takkan tak berani tanggung? – ShahbudinHusin 17/06/2022.

No comments: