Mengapa projek klinik Long Busang, pedalaman Sarawak tergendala? - Abun Sui

 

Kemudahan asas bagi penduduk di pedalaman Sarawak terus terabai biar pun parti pemerintah Sarawak merupakan sekutu Kerajaan Persekutuan.


Terbaharu, Ketua Penerangan dan Komunikasi KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit mahu jawapan tegas daripada pihak Kerajaan mengenai nasib projek klinik di Long Busang, Belaga dalam Parlimen Hulu Rajang yang terbengkalai biar pun dikatakan tempoh siapnya pada pertengahan tahun ini.

Abun Sui

"Projek pembinaan klinik kerajaan bernilai RM3 juta ini dijangka siap pada 24 Julai 2022. Walau bagaimanapun hanya tinggal sebulan lebih sahaja lagi untuk sampai ke tarikh dijangka siap tetapi projek pembinaan tidak berjalan.


"Malah tidak ada tanda tanda bangunan klinik berkenaan diteruskan walaupun negara telah memasuki fasa endemik Covid 19 yang bermula bulan April lalu. Rumput juga telah tumbuh panjang pada rangka bangunan klinik tersebut.


"Bila agaknya klinik Long Busang ini akan siap sebenarnya? Adakah mengikut jadual akan disiapkan pada 24 Julai ini?" tanya Abun Sui.


Menurut Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu, tidak mungkin projek membina sebuah klinik yang dimulakan pada 2015 lalu mengambil masa sehingga 7 tahun, dan lebih lama daripada pembinaan sebuah hospital negeri.


"Adakah projek klinik tersebut yang bermula sejak tahun 2015 telah menjadi projek gajah putih yang tidak mungkin dapat lagi disiapkan?" tanya Abun Sui tidak puas hati.


Tarikh siap projek bulan Julai 2022

Katanya, status pembinaan klinik Long Busang itu juga telah diajukan oleh masyarakat setempat kepada barisan pimpinan negeri dalam acara 'Ladung Bio' iaitu Perhimpunan Besar Kaum Kenyah Sarawak pada pertengahan Mei lalu.


Ahli Parlimen Hulu Rajang, Wilson Ugak Kumbong, ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang dan Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Murum turut hadir dalam acara berkenaan.


Justeru, Abun Sui berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyambung semula pembinaan klinik tersebut dengan segera bagi meringankan bebanan penduduk setempat untuk mendapatkan rawatan perubatan.

No comments: