BN menang PRU 15, GST dilaksanakan kembali
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan pada era pemerintahan Pakatan Harapan berkemungkinan besar akan dilaksanakan semula oleh Kerajaan BN.
Hal itu, kata Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh semakin jelas apabila usaha mempromosikan semula GST telah pun dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.
Cuma, kata Syed Ibrahim, cepat atau lambat dilaksanakan semula bergantung kepada berapa besar kemenangan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Ujarnya, jika rakyat alpa dan BN menang lagi maka cukai berkenaan tidak akan menunggu masa lama untuk diaktifkan.
“Jikalau BN menang besar, kemungkinan besar GST akan diperkenalkan semula,” katanya kepada Suara Keadilan.
Namun Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor itu memberi amaran bahawa waktunya amat tidak kondusif mengutip cukai GST dalam 2 tahun ke hadapan memandangkan keadaan hidup rakyat yang amat terbeban selepas pandemik Covid 19 dan kemelesetan ekonomi dunia yang bakal berlaku.
Katanya, biar pun Tengku Zafrul berjanji GST kali ini akan mempunyai penambahbaikkan namun dengan polisi ekonomi BN sedia ada tidak banyak harapan boleh rakyat letakkan ke atas ‘janji BN’ itu.
“Ketika ini amat tidak wajar GST dilaksanakan pada waktu harga barang melambung, ditambah pula kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang rendah. Tambah buruk jika kutipan cukai berkenaan mengakibatkan wang rakyat dibazir dengan rasuah, ketirisan dan kronisme.
“Kerajaan perlu buktikan terlebih dahulu penambahbaikkan tatakelola, pembanterasan rasuah dan pemantauan serius terhadap pembaziran sebelum GST diperkenalkan semula,” katanya.
Justeru, Syed Ibrahim menyarankan agar Kerajaan BN memikirkan cara lain bagi menambah hasil yang semakin berkurangan dalam kantong negara.
GST, katanya, amat tidak popular terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah kerana sifat regresif cukai tersebut yang mengutip hasil secara sama rata, tidak mengira golongan miskin atau kaya.
“Cukai ini dikenakan kepada semua transaksi tanpa mengira status sosioekonomi, GST memberikan beban yang tidak sepatutnya kepada kelompok miskin.
“Benar, mungkin ada pengecualian daripada GST untuk barangan tertentu tetapi ketidakcekapan cara pengecualian dan kelembapan bayaran balik kepada peniaga menyebabkan manfaat GST tidak dirasai, malah ia dilihat menganiayai terutama bagi golongan B40,” katanya lagi.