KEADILAN UNTUK 100,000 MANGSA SCAMMER

FAHMI FADZIL




Pada 10 Mac 2022 yang lalu, dilaporkan RM3.3 bilion dicuri melalui scam dari 2017 hingga 2021.

Ini bersamaan dengan sekurang-kurangnya RM660 juta yang dicuri dari hampir 20,000 orang setiap tahun (belum kira lagi jumlah yang kena scam sehingga kini).

Ini bukan jumlah yang kecil.

Malangnya, sehingga hari ini, mereka yang dihadap ke mahkamah lebih ramai dari kalangan pemegang akaun ‘mule’ (yang diperalat scammer) berbanding kepala-kepala atau taiko-taiko scammer itu sendiri.

Kenapa ini berlaku? Adakah Kerajaan tidak dapat mengarahkan bank-bank untuk membuat audit forensik terhadap ‘money trail’ supaya kita dapat tahu selain duit yang dicuri ini masuk ke akaun-akaun ‘mule’, siapa sebenarnya penerima akhir duit rakyat yang dicuri ini?

Contoh, seperti dalam kes 1MDB yang melibatkan Najib Razak, duit 1MDB pun pergi ke akaun-akaun “shell company” (boleh kita misalkan sebagai ‘mule’ juga) sebelum akhirnya didakwa masuk ke akaun Najib Razak.

Kalau pegawai-pegawai bank boleh tahu ‘money trail’ dalam kes 1MDB Najib Razak, yang jumlahnya berbilion ringgit merentasi pelbagai negara dan sistem kewangan, apakah bank-bank terutama Bank Negara dan Bukit Aman tidak dapat mengenalpasti siapa penerima-penerima akhir duit yang dicuri scammer-scammer ini?

Dan kemudian heret kepala-kepala scammer ini ke mahkamah?

Di mana keadilan untuk 100,000 mangsa scammer?

Dan ke mana perginya RM3.3 bilion ini? Diguna untuk aktiviti-aktiviti rasuah atau jenayah-jenayah yang lain?

 

No comments: