Tiada mana-mana Perdana Menteri bincang tarikh pilihan raya secara terbuka - Ismail Sabri- Memang la..negara jakun mana nak bagi tau awai..


Hasimi Muhamad
Tiada mana-mana Perdana Menteri bincang tarikh pilihan raya secara terbuka - Ismail Sabri
Tiada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang membincangkan tarikh pilihan raya umum secara terbuka di khalayak, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiada mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang membincangkan tarikh pilihan raya umum (PRU) secara terbuka di khalayak, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Perdana Menteri, keadaan itu boleh memberi gambaran seolah-olah kerajaan hanya terlalu memfokuskan kepada politik, berbanding isu lain.
“Kalau (Tun) Dr Mahathir itu saya ingat kita dalam kerajaan Barisan Nasional, bila ditanya (mengenai pilihan raya umum) dia akan jawab; “Saya belum dapat ilham.”
“Jadi semua Perdana Menteri tidak bincangkan soal pilihan raya umum di khalayak ramai… ini memberi kesan kepada kestabilan politik, kalau kita terlalu membincangkan.
“Jadi akhirnya tumpuan kita lebih kepada soal pilihan raya daripada soal menguruskan masalah yang dihadapi oleh negara kita,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) di stesen Kampung Batu, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah lebih baik diadakan selepas pembentangan Bajet 2023.
Ismail Sabri enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu, namun, menegaskan, pilihan raya akan tetap diadakan.
“Setiap hari tarikh pilihan raya semakin hampir, setiap hari akan semakin hampir,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ismail Sabri menyifatkan keadaan politik negara ketika ini adalah stabil.
“Komen-komen negatif pun tiada, pertembungan antara kenyataan yang agak keras antara parti politik pun tidak ada.
“Jadi saya anggap politik hari ini masih stabil dan ini membolehken kerajaan memberi tumpuan untuk memulihkan ekonomi negara dan menyelesaikan isu kenaikan harga barang dan bekalan,” jelas beliau lagi.
Mengenai dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan perbincangan berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri pula, Ismail Sabri berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.
“Khabar angin mengatakan ada bincang, tetapi telah dinafikan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu selepas khabar angin itu keluar.
“Dia mengatakan tiada perbincangan dan setakat hari ini dia kata pihak Bersatu seperti juga Pas, GPS dan lain-lain termasuk Pakatan Harapan (PH) apabila menandatangani memorandum itu, menyatakan terus menyokong kerajaan yang ada hari ini,” kata Perdana Menteri.

No comments: